Rabu, 25 Mei 2016 | 7:46am

Tiga parah kereta bertembung van


KEADAAN kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan dekat Beris Meraga, Kemaman, Terengganu, malam tadi.

CHUKAI: Tiga, termasuk seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah van di Kilometer 128, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Beris Meraga, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.35 malam itu, van terbabit yang dipercayai dari arah Kemasik ke Kemaman dikatakan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.

Pemandu kereta, Azmi Sembok dan penumpang wanita, Nur Syahita Kadir, masing-masing berusia 20-an, parah pada bahagian kaki.

Pemandu van yang berusia 30-an dan berasal dari Kemasik, Kemaman turut dilaporkan patah kaki kiri.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Abdul Razak Mohd Amin, berkata 11 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit sebelum mereka dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X