Selasa, 24 Mei 2016 | 2:54pm

Curi di Low Yat: Penganggur kena jel 4 bulan, denda RM1,000

PENGGANGUR, Shahrul Anuar Abdul Aziz hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini atas pertuduhan mencuri telefon bimbit Lenovo bernilai RM800 di Plaza Low Yat tahun lalu. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Penganggur, Shahrul Anuar Abdul Aziz dihukum penjara empat bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Julai tahun lalu. 

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Anuar, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara sebulan sekiranya, gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.  

Pada 14 Julai tahun lalu, Shahrul Anuar didakwa mencuri satu unit telefon bimbit jenama Lenovo S860, bernilai RM800 di Techasia Boutique, Lot UG K021, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, di sini, jam 4.47 petang, pada 11 Julai 2015.

Pendakwaan terhadap anak bongsu daripada tiga beradik itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X