Selasa, 24 Mei 2016 | 6:00am

Tiga 'dosa' penterjemah


NOVEL Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan.

KERJA penterjemahan ialah kerja mulia tetapi tidak senang. Penulis Russia, Vladimir Nabokov memaparkan tiga 'dosa' atau kesalahan yang lazim dibuat penterjemah.

Pertama, kesalahan kerana kurang pengetahuan atau pemahaman tetapi boleh dimaafkan yang banyak berpunca daripada kelalaian.

Dalam setiap bahasa, ada konsep dinamakan 'pembantu palsu seorang penterjemah:' perkataan yang bentuknya serupa dengan bahasa asing tetapi erti lain. Misalnya, 'profesor' dalam bahasa Jerman tidak boleh diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai profesor kerana bermaksud 'ketua guru sekolah.'

Kepandaian mencari perkataan paling tepat ialah tugas penting dalam penterjemahan. Saya pernah menghadapi masalah itu apabila menterjemahkan puisi Russia ke bahasa Melayu. Mujurlah saya menunjukkannya kepada ahli bahasa di negara ini yang membetulkannya.

Dalam terjemahan puisi Pushkin, Mengimbas Al-Quran, saya menggunakan perkataan terompet dalam konteks Hari Kiamat. Rakan saya, pensyarah bahasa Arab menasihatkan untuk menggantikannya dengan sangkakala:

Malaikat membunyikan sangkakala dua kali

Dan gemuruh mengilat ke bumi.

Kadang-kadang terjemahan tepat tidak diinginkan kerana susah difahami dengan budaya dan iklim berbeza. Dalam terjemahan cerpen Daripada Kehidupan Para Jutawan oleh Victoria Tokareva, saya sengaja menggantikan perkataan 'September' dengan 'musim gugur.'

September tidak memberi apa-apa erti khusus kepada orang Malaysia kerana tidak mengalaminya seperti Eropah yang mengibaratkannya bukan saja musim gugur, bahkan kehidupan manusia, iaitu sekitar usia 50 tahun.

Kesukaran penterjemahan

Banyak kesukaran saya temui dalam proses penterjemahan novel Naratif Ogonshoto oleh Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan. Dalam episod dikisahkan watak yang tidak boleh dianggap penduduk asli sebuah pulau kerana ibunya melahirkannya dengan menumpahkan darah bukan di pulau itu tetapi di kapal di pesisirannya.

Pengarang memberi isyarat 'tanah tumpah darah' bererti 'tanah air.' Namun 'tanah air' dalam bahasa Russia tidak kena mengena dengan 'tumpahan darah.' Jadi untuk mengekalkan permainan kata, perlu cari pendekatan lain.

'Dosa' kedua yang lebih serius menurut Nabokov ialah apabila penterjemah meninggalkan kalimat susah yakni memendekkan karya asli pada hal kadang-kadang ia bukan saja mengubah keutuhan karya, bahkan idea tercantum dalamnya. Ada pendapat sekiranya penterjemah tidak mengerti lebih daripada 20 peratus teks, ada eloknya tidak langsung memulakan kerja penterjemahan.

Kesalahan paling berat ialah percubaan penterjemah 'menyempurnakan' pengarang karya yang diterjemahkan. Dari karya asli, hanya tinggal rangka umum dan pembaca tidak dapat mengenali keperibadian pengarang asal. Penterjemah yang mesti memakai pakaian seorang pengarang, kata Nabokov, sebenarnya cuba mengenakan pakaiannya sendiri pada pengarang.

Perlu juga dicatat kesalahan tidak selalu mengurangi nilai estetika tinggi daripada terjemahan. Misalnya penyair Russia, Mikhail Lermontov apabila menterjemah sajak Robert Burns, terkeliru perkataan Inggeris 'kind' (baik hati) dengan perkataan Jerman 'kind' (bayi) tetapi ia tetap menjadi antara mutiara puisi Russia.

Lermontov juga tidak memerhatikan gender nama pokok dalam bahasa Jerman sehingga dalam terjemahan sajak Heine ke bahasa Russia membuat pokok pain (feminin) jatuh cinta pada pokok palem (juga feminin)!

Golongan pengkritik membincangkan apakah beliau membuatnya sengaja, kesalahan itu 'menjelikkan' atau sebaliknya 'memperbaiki' karya asalnya sejak satu setengah abad lalu, selain berpolemik apakah ciptaan Lermontov itu terjemahan atau tidak, tetapi sajak itu sampai sekarang disukai pembaca.

Kiranya perasaan pembaca ialah kayu ukur utama dalam perdebatan baik atau jelik. Tentu setiap pembaca (pengkritik juga) tidak sama sehingga wajar apabila ada perbezaan pendapat terhadap sesuatu terjemahan.

Terjemahan sastera pada dasarnya berciri kemajmukan. Terjemahan sastera bahkan tidak boleh disempurnakan tanpa persaingan kreatif dan tidak boleh wujud terjemahan ideal.

Wilhelm Gumbolt pernah berkata: "Penduduk yang tidak sempat membaca pengarang Rom dan Yunani era Antik memahaminya lebih baik melalui beberapa terjemahan. Justeru, timbul banyak imej daripada satu karya tertentu."

Dalam novel sains fiksyen penulis Amerika Syarikat (AS), Ursula Le Guin, suku bangsa di luar bumi menganggap penterjemah sebagai Tuhan kerana dialah yang membuat sesuatu yang tidak difahami sebagai boleh difahami. Pushkin membandingkan penterjemah dengan kuda yang diganti-ganti di stesen peradaban. Begitu tinggi penilaian mereka terhadap penterjemah sehingga dianggap pengantara mustahak dalam dialog peradaban.

Berita Harian X