Selasa, 24 Mei 2016 | 12:02am
IKAN lumba-lumba adalah mamalia kerana tidak memiliki insang seperti dugong dan paus.
PENEBANGAN bakau dan penambakan kawasan paya bakau boleh menyebabkan kepupusan mamalia marin terutama ikan lumba-lumba Irrawaddy, yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai habitat semula jadi pembiakan ikan.

Lumba-lumba hidup di sungai


SABAH antara negeri yang dicatatkan mempunyai diversiti spesies ikan lumba-lumba tertinggi di negara ini.

KUALA LUMPUR: Selama ini tidak ramai yang mengetahui ikan lumba-lumba yang hidup di laut, boleh hidup dalam sungai di negara ini, sama seperti mamalia itu menjadikan Sungai La Plata, Brazil sebagai habitatnya.

Bagaimanapun, daripada 21 spesies lumba-lumba yang dikesan di negara ini, hanya satu spesies boleh mendiami sungai khususnya di Sabah iaitu ikan lumba-lumba Irrawaddy atau dikenali empesut.

Kajian penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Teluk Cowie, Tawau, merangkumi muara Sungai Kalabakan dan Sungai Brantian, dianggarkan sekitar 28 hingga 34 ekor ikan lumba-lumba mendiami sungai berkenaan.

Penyelidikan sekitar tahun 2010 itu mendapati hidupan laut berkenaan bergerak dalam kumpulan kecil iaitu dari dua hingga enam ekor dalam satu kumpulan.

Ikan lumba-lumba Irrawaddy bergerak dari laut ke muara sungai sebelum sampai hingga ke bahagian hulu sungai termasuk di Sungai Kinabatangan di Kinabatangan untuk mencari sumber makanan.


TELUK Cowie dianggarkan menjadi habitat 20 hingga 30 ikan lumba-lumba Irrawaddy yang sesuai tinggal di kawasan semula jadi dan menjauhi lokasi tercemar, menyebabkannya berhijrah ke destinasi lain yang lebih selamat.

Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, Dr John Madin berkata, faktor utama perpindahan ikan lumba-lumba Irrawady dari laut atau kuala sungai ke sungai tidak diketahui dengan jelas.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan mamalia itu berhubung kait dengan sumber makanan dan tahap gangguan persekitaran serta kerosakan habitat semula jadinya.

Beliau berkata, di Sabah dan Sarawak, kajian menunjukkan ketika air pasang, ikan lumba-lumba akan bergerak ke hulu sungai untuk memburu makanan kegemaran iaitu beberapa spesies ikan duri.

"Di Sarawak, ikan lumba-lumba Irrawaddy dan beberapa spesies lain kerap dilaporkan berada di kawasan muara sungai seperti Sungai Rajang dan Sungai Saribas.

"Di Semenanjung pula, kawasan seperti muara Sungai Sepetang di Perak adalah kawasan kerap dikaitkan dengan laporan kehadiran ikan lumba-lumba," katanya kepada BH.


PAYA bakau adalah habitat semula jadi ikan yang menjadi sumber makanan utama mamalia berkenaan.

Madin berkata, dari segi jumlah spesies ikan lumba-lumba yang direkodkan, Sabah adalah antara negeri yang mempunyai diversiti spesies mamalia itu yang tertinggi di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar populasi ikan lumba-lumba itu sukar dianggarkan kerana tabiatnya yang kerap bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Spesies dikenal pasti melalui pengecaman tulang tengkorak dan melalui ujian deoxyribonucleic acid (DNA) terhadap spesimen ikan lumba-lumba yang terdampar serta mati terutama di kawasan pantai barat Sabah.

"Dari aspek pembiakan, tidak diketahui dengan tepat sama ada membabitkan sungai, namun ia berkait rapat sumber makanan dan kawasan selamat iaitu jauh daripada gangguan pemangsa serta aktiviti manusia," katanya.

Berita Harian X