Isnin, 23 Mei 2016 | 7:05pm

Penduduk serah surat bantahan kedua pada MPK


M Moses Jayaselan bersama ahli Persatuan Penduduk Taman Lipat Kajang menunjukkan surat bantahan kedua terhadap cadangan pembinaan Pusat Upacara Peringatan dan Kolumbarium di kawasan taman perumahan mereka. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

KLANG: Persatuan Penduduk Taman Lipat Kajang di sini menyerahkan surat bantahan kedua terhadap cadangan pembinaan Pusat Upacara Peringatan dan Kolumbarium di kawasan taman perumahan mereka.

Wakil penduduk, M Moses Jayaselan berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat bantahan pertama kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 11 Mei lalu.

"Ekoran itu, kami terkejut apabila Yang Dipertua MPK mengeluarkan kenyataan kepada sebuah akhbar pada 14 Mei lalu bahawa MPK belum menerima apa-apa surat bantahan.

"Justeru, selepas tiada tindakan diambil MPK sehingga kini, kami bercadang menghantar surat bantahan ini sekali lagi hari ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat bantahan penduduk Taman Lipat Kajang kepada Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Moses berkata, sekiranya cadangan pembinaan bangunan tempat letak abu mayat berkenaan diteruskan, lebih 200 penduduk di taman itu akan berdepan dengan gangguan dan kesulitan dalam menjalani kehidupan harian.      

"Notis cadangan diletakkan di kawasan pembinaan tanpa pengetahuan penduduk juga membuatkan kami keliru kerana tidak ada tarikh ia mula berkuatkuasa sedangkan kami perlu membuat bantahan dalam tempoh 21 hari.      

"Tempat ini sudah ada tapak acara keagamaan yang sememangnya dibina berhampiran dengan kawasan perumahan dan perniagaan sehingga menyebabkan kesesakan," katanya.

Sementara itu, Adi Faizal berkata, pembinaan Pusat Upacara Peringatan dan Kolumbarium di kawasan Taman Lipat Kajang masih dalam perbincangan pemaju malah MPK juga belum menerima permohonan untuk kebenaran merancang.

"Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa permohonan kebenaran merancang di kawasan itu dan sekiranya mereka memohon, masih ada beberapa peringkat perlu dilalui pemaju sebelum memulakan projek berkenaan," katanya. 

Berita Harian X