Selasa, 4 November 2014 | 5:16pm

MATRADE perkenal program merangsang eksport

BINTULU: MATRADE memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi merangsang eksport negara menerusi pembabitan aktif syarikat tempatan hingga mampu berdaya saing di peringkat global.

Pengarah Kanan Pembangunan Eksport MATRADE, Zulkepli Mohd Perai, berkata antara program berkenaan termasuk Go-Ex yang menyasarkan 1,400 syarikat tempatan dibangunkan menjadi pengeksport berdaya saing dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Program Pembangunan Syarikat Mid-Tier pula bertujuan membantu syarikat pertengahan, terutama yang terbabit dalam industri inovasi dan pembangunan teknologi, untuk mengembangkan operasi di peringkat serantau dan global.

"Turut diperkenalkan Program e-Trade yang juga inisiatif di bawah Program Digital Malaysia bagi meningkatkan penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian e-dagang," katanya selepas perasmian Forum Eksport Malaysia 2014 oleh Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Talib Zulpilip di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan disalurkan MATRADE tidak hanya bertumpu kepada syarikat besar, sebaliknya turut membabitkan usahawan IKS yang terbabit dalam perusahaan makanan dan produk perkayuan seperti penghasilan perabot.

"MATRADE berharap dengan penganjuran forum sebegini, lebih banyak syarikat dari Sarawak mendaftar dengan agensi ini untuk dibantu meneroka pasaran eksport, seterusnya mengekalkan daya saing produk Malaysia di peringkat global," katanya.

Hingga kini, 271 syarikat dari Sarawak berdaftar dengan MATRADE, yang mana 90 syarikat dimiliki Bumiputera, termasuk 14 daripadanya diusahakan golongan wanita.

Berita Harian X