Isnin, 23 Mei 2016 | 2:27am
ADIRA meminati gaya minimalis dan suka warna hitam. - Foto Munira Abdul Ghani
ADIRA akui lebih gemarkan gaya sederhana dan tidak begitu bijak bergaya seperti sesetengah artis. - Foto Munira Abdul Ghani

Adira pasrah kritikan imej selekeh


KUALA LUMPUR: Entah mana silapnya, ada saja cerita kedengaran setiap kali nama pemegang trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29) ini diperkatakan.

Sebelum ini, kisah pernikahan Adira Suhaimi, 25, dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, 38, menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.

Ramai mempersoal keputusan penyanyi berasal dari Ranau, Sabah, ini memperjudikan hidup dengan bernikah dengan suami orang. Namun, segala-galanya reda apabila Adira dan suami tampil memberi penjelasan.

Mengimbas kisah lalu, Adira juga sering dikritik kerana penampilannya sejak mula menjadi artis hinggalah apabila sudah berhijab. Apa saja gaya yang dibawa penyanyi ini, sering menjadi bahan kritikan terutama di laman sosial.


PERSALINAN 'jubah konvo' yang pernah dipakai Adira pada suatu majlis, baru-baru ini.

Antaranya, hijab ala turban yang digayakan selain persalinan 'jubah konvo' yang pernah dipakai Adira pada suatu majlis, baru-baru ini.

Hakikatnya, hingga hari ini, Adira terus menjadi dicop sebagai artis selekeh dan tidak menjaga penampilan. Kritikan itu cukup pedas mengambil kira faktor imej bagi artis amat kritikal dalam mengumpan perhatian.

Mendekati Adira, wanita ini punya prinsip tidak mudah melatah setiap kali cerita kurang enak atau tohmahan dilemparkan terhadapnya.

"Biarlah apa orang kata kerana sebagai manusia, kita tidak boleh menutup mulut orang. Lumrah kehidupan sebagai anak seni, tidak pernah akan terkecuali daripada kutukan.


GAYA hijab ala turban yang digayakan oleh Adira. - Foto ihsan Instagram Adira Suhaimi

"Ini kerana hakikatnya, tidak semestinya semua yang dilemparkan itu adalah kata-kata pujian.

"Bercakap soal gaya, saya meminati gaya minimalis dan suka warna hitam. Mungkin ini memperlihatkan saya sering keluar dengan penampilan yang seakan sama.

Adira berkata, apa yang penting, dia selesa dengan penampilannya dan suami tidak menghalang.

"Saya tahu bagaimana hendak menjaga nama baik suami dan status yang disandang sebagai selebriti.

"Namun, mungkin saya lebih gemarkan gaya sederhana dan tidak begitu bijak bergaya seperti sesetengah artis," katanya kepada BH PLUS.

Suami beri tip urus bisnes kosmetik


ADIRA Suhaimi bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu. - Foto Saddam Yusoff

Enggan mengambil serius kata-kata negatif, Adira sebaliknya menyusun strategi merancang masa depan.

Memiliki kecantikan asli dan kulit mulus, Adira dalam diam-diam bakal memasarkan produk kosmetik menggunakan nama sendiri, tidak lama lagi.

"Insya-Allah, saya bakal tampil dengan produk kecantikan. Idea itu tercetus kerana ada yang bertanya mengenai set kosmetik yang digunakan.

"Sudah lama saya menyimpan hasrat mengeluarkan produk sendiri. Akhirnya, tercapai juga impian saya," katanya.

Adira mengaku meminta pertolongan Adnan berhubung tip mengendalikan perniagaan.

"Seperti semua orang sedia maklum, suami saya adalah seorang ahli perniagaan. Dia menyokong saya untuk mengejar impian yang sudah lama terpendam itu.

"Namun, suami sekadar penasihat. Saya sendiri yang mengendalikan operasi perniagaan itu," katanya.

Berita Harian X