Ahad, 22 Mei 2016 | 2:41pm
JOSE Mourinho dan Louis van Gaal.

Mourinho kian hampir dilantik United ganti Van Gaal

LONDON: Louis van Gaal menjulang trofi Piala FA di Wembley awal pagi tadi namun ia mungkin tidak cukup untuk menghalang Manchester United daripada melantik Jose Mourinho sebagai pengurus baharu kelab itu.

Pengurus kelahiran Belanda itu dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward di Old Trafford serta beberapa ahli keluarga Glazer, hari ini untuk mengesahkan sama ada dia akan digantikan dengan bekas bos Chelsea itu.

Van Gaal begitupun berharap dia akan diberikan peluang untuk meneruskan tugasnya yang berbaki setahun selepas kejayaan Piala FA.

Begitupun, perjumpaan itu nanti dijangka akan mengesahkan sama ada dia akan keluar lebih awal atau kelab itu menghormati kontrak tiga tahun yang ditandatanganinya sebelum ini.

Difahamkan, keinginan Woodward untuk tidak memecat pengurus kedua kelab itu dalam tempoh tiga tahun terhakis selepas United gagal layak beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Mourinho difahamkan sudah bersetuju dengan syarat-syarat utama yang ditetapkan kelab itu sebelum perlawanan final Piala FA lagi.

Sekali pun gol Jesse Lingard memberikan kemenangan Piala FA pertama buat United sejak kali terakhir dimenangi pada 2004, keluarga Glazer tetap merasa bimbang peminat kelab itu akan mengalihkan kemarahan kepada mereka sekiranya mereka tidak memecat Van Gaal.

Turut difahamkan, perlawanan terakhir liga buat United bertemu Bournemouth, Selasa lalu hanya disaksikan kurang 40,000 penonton di Old Trafford, jumlah terkecil di stadium itu sejak menjalani proses baik pulih pada 1990.

Woodward juga ketika ini sedang menangguhkan segala proses jual beli pemain sehingga spekulasi mengenai jawatan panas itu selesai.

Pembantu Van Gaal, Ryan Giggs juga dibenarkan untuk bercuti selepas minggu ini selepas dia bertanya kepada kelab itu sama ada dia perlu untuk kekal di Manchester atau tidak. - Agensi

Berita Harian X