Ahad, 22 Mei 2016 | 8:50am

Obama, Haider setuju kawalan Zon Hijau dipertingkat


PRESIDEN Barack Obama dan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi.

WASHINGTON: Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi, bersetuju dengan keperluan mengetatkan kawalan di Zon Hijau di Baghdad selepas penunjuk perasaan merempuh masuk ke kawasan itu.

Sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan antikerajaan maut dan 90 cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kelmarin di Zon Hijau yang menempatkan pejabat kerajaan dan kedutaan.

Obama bercakap menerusi telefon dengan Haider dan kenyataan Rumah Putih menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan keperluan untuk berunding supaya penduduk Iraq boleh mencapai aspirasi itu menerusi institusi demokratik.

Sementara itu, ratusan penduduk berkumpul di Kota Sadr pada Sabtu ketika keluarga dua mangsa yang terbunuh dalam bantahan itu mengadakan majlis pengebumian mereka.

Hussein Hasab, 21, dan Haider Hassan, 43, meninggal dunia kerana kecederaan terkena tembakan. Hasab ditembak di kepala.

Orang ramai melaungkan slogan antirasuah dan menyokong pembaharuan kerajaan. - Reuters/AP

Berita Harian X