Ahad, 22 Mei 2016 | 12:11am
SUNGAI Skudai masih menjana sehingga 300 tan sampah setahun akibat dibuang penduduk dan industri. Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGERUSI Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor, Datuk Ayub Rahmat. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

RM1 bilion perlu untuk baik pulih Sungai Skudai


JOHOR BAHRU: Kerajaan dijangka perlu membelanjakan sehingga RM1 bilion jika mahu membersih dan memulihkan kualiti air serta persekitaran Sungai Skudai yang kini menjadi antara sungai paling tercemar di Malaysia.

Dekan Kelestarian Sumber Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusof, berkata tidak mampu kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak itu kerana pelaburan untuk pemulihan sungai yang tercamar itu tidak menjana keuntungan dalam aspek kewangan.

"Namun, semakin lama ditangguh, kos pemulihan dan pembersihan akan terus meningkat dan membebankan. Apa yang perlu dibuat adalah mengawal punca pencemaran dan usaha ini memerlukan kaedah penyelesaian bersepadu.

"Dalam isu ini, mengutip sampah dan melupuskannya serta membuat landskap sepanjang sungai tidak mencukupi, sebaliknya proses pemulihan perlu dijalankan," katanya yang turut menegaskan sumber utama pencemaran Sungai Skudai berpunca daripada sisa kumbahan domestik dan pembuangan sisa dari kilang.


KEKOTORAN dan pencemaran di alami Sungai Skudai memerlukan kos sehingga RM1 bilion untuk dipulihkan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Zulkifli berkata, pelaburan pemulihan khususnya mengawal punca pencemaran termasuk menaik taraf sistem rawatan kumbahan domestik dan industri, selain inisiatif lain seperti mengurus dan menukar kumbahan menjadi gas atau tenaga seperti dilaksanakan negara maju termasuk Jepun, Sweden, Jepun dan Singapura.

Katanya, dengan realiti banyak sungai di negara ini tercemar pada tahap paling teruk, maka inisiatif menyediakan peruntukan memulihkan setiap satu sungai terbabit boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, kerana memerlukan dana yang besar.

Justeru itu, katanya, usaha memupuk kesedaran masyarakat perlu digandakan dan lebih strategi yang menjadi usaha bersepadu membabitkan lebih banyak pihak.

Beliau kesal sikap masyarakat yang menjadikan pelbagai saliran termasuk sungai sebagai tong sampah masih tidak berubah dan keadaan diburukkan lagi dengan kewujudan penempatan haram yang kebanyakan dipercayai didiami pendatang tanpa izin (PATI).


PENCEMARAN membuatkan Sungai Skudai meraih status sungai paling tercemar di Malaysia. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Zulkifli menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lebih kerap supaya penempatan haram di tebing Sungai Skudai dihapuskan demi kesejahteraan sungai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor, Datuk Ayub Rahmat, mengakui Pelan Hala Tuju Sungai Skudai 2011-2015, tidak mencapai sasaran kerana hanya mencatatkan kemajuan 59 peratus iaitu masih rendah berbanding sasaran.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu berlaku disebabkan pelbagai faktor lain yang di luar bidang kuasa JPS menyebabkan Unit Perancang Ekonomi Johor (UPEN) akan mengetuai tindakan bagi menstruktur semula pelan berkenaan.

Katanya, antara langkah akan dijalankan termasuk mencadangkan JPS menstruktur semula pelan berkenaan dan meminta UPEN mengetuai bengkel, selain berharap penstrukturan pelan ini disiapkan sebelum akhir tahun ini.


TINJAUAN Sungai Taman Impian yang tercemar dengan sampah sarap. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Pengurusan lembangan Sungai Skudai ini memerlukan kerjasama dan pengurusan daripada semua pihak," katanya.

Mengikut Pelan Hala Tuju Sungai Skudai 2011-2015, antara lain bertujuan meningkatkan Indeks Kualiti Air Sungai Skudai kepada Kelas II menjelang 2015 serta mensasarkan pungutan sampah menurun sehingga 85 peratus pada 2015 daripada 369 tan setahun pada 2011.

Namun, selepas pelan itu berakhir, kutipan sampah dari sungai terbabit masih berada pada tahap 250 hingga 300 tan setahun, manakala kualiti airnya berada dalam Kelad III dan IV.

Berita Harian X