Sabtu, 21 Mei 2016 | 11:34pm

JDT pintas FELDA United

PEMAIN JDT, Hariss Harun (tengah) melepas halangan pemain Pahang , Mohd Fauzi Roslan (kanan) dan Mohd Rizua Syafiqi dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - Foto Zulkepli Osman

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas takhta Liga Super selepas membelasah Pahang 6-0 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Hatrik Jorge Pereyra Diaz (m-28, 55, 76), dua gol Juan Martin Lucero (m-6, 47) serta satu gol Marcos Antonio (m-34) memastikan tiga mata berharga serta kelebihan jaringan yang menjamin tangga teratas yang sebelum ini dikuasai FELDA United kerana perbezaan gol.

JDT kini mendahului liga dengan kelebihan dua mata ke atas FELDA United yang tercicir dua mata apabila sekadar seri 2-2 menentang Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Ahmad Syamim Yahya membuka jaringan buat tuan rumah pada minit kelapan tetapi Pulau Pinang kembali menyamakan kedudukan menerusi penalti Reinaldo Lobo di akhir babak pertama. Osas Ikpefua kemudian menggandakan jaringan untuk pelawat (m-65) sebelum Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan (m-80).

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan tumpas 4-2 di tangan Selangor hasil jaringan Hafiz Kamal (m-15), R Gopinathan (m-21), Nazmi Faiz Mansur (m-33), Razman Roslan (m-49) dan Ahmad Hazwan Bakri (m-88). Blazhe Ilijoski (m-9) dan Dramane Traore (m-60) meledak gol buat tuan rumah.

Di Stadium Shah Alam, gol waktu kecederaan oleh Liridon Krasniqi menyelamatkan satu mata buat Kedah selepas PDRM mendahului pada minit ke-42 menerusi Syauki Abd Wahab.

Di Stadium Perak, Ipoh, Sarawak di bawah kendalian pengendali sementara David Usop terus cemerlang apabila menundukkan Perak 3-0 hasil jaringan Junior Aparecido (penalti m-32), Ndumba Makeche (m-66) dan Gilmar da Silva (m-70).

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, penalti waktu kecederaan Joseph Kalang Tie memberikan kemenangan 2-1 buat Terengganu ke atas Terengganu FC II selepas jaringan Norshahrul Idlan Talaha (m-4) diimbangi gol Asrol Ibrahim (m-64).

Berita Harian X