Sabtu, 21 Mei 2016 | 10:16pm

Kasma takluk Litar Pasir Mas


PELUMBA kategori CP130, Kasma Daniel Kasmayudin (tengah) meraikan kejuaraannya bersama pemenang tempat kedua, Ahmad Fazli Sham (kiri) dan Md Zaqhwan Zaidi (ketiga) pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Pasir Mas, petang tadi. - Foto Fathil Asri

PASIR MAS: Pelumba kategori CP130, Kasma Daniel Kasmayudin muncul juara pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS selepas menamatkan 20 pusingan dengan catatan masa 13'56.822 saat di Litar Pasir Mas, petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu hanya berada tiga mata di belakang pendahulu yang juga rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham.

Ahmad Fazli menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan hanya ketinggalan 0.012s, manakala tempat ketiga milik Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 13'58.310s.

"Permulaan saya tidak begitu baik ditambah dengan kesilapan di selekoh pertama menyebabkan saya sedikit ketinggalan pada peringkat awal perlumbaan.

"Saya hanya mengekori Fazli sehinggalah Hafiz Nor Azman berada di belakang saya dan melakukan percubaan untuk memintas.

"Selepas itu saya mula mencari ruang untuk berada di depan Fazli namun pada masa sama kami saling bertukar kedudukan hingga ke pusingan terakhir," kata Kasma.

Selepas empat pusingan, Kasma kini mengumpul 75 mata hasil tiga gelaran juara termasuk pusingan pembukaan di Serdang, Selangor dan pusingan ketiga di Kangar, Perlis manakala Fazli kekal di tangga teratas dengan 78 mata selain Zaqhwan naik ke tangga ketiga dengan 45 mata.

Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin meraih kemenangan ketiga musim ini selepas mengungguli 12 pusingan perlumbaan yang dihentikan seketika akibat insiden kemalangan membabitkan enam pelumba pada permulaan perlumbaan.

Tempat kedua milik Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dengan masa 8'34.043s dan Md Aznil Md Ali (M Seki Liberty Honda) ketiga dengan masa 8'35.172s.

Kedudukan Keseluruhan

CP130

1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 78 mata

2. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 75 mata

3. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 45 mata

4. Norizman Ismail (SGR) Honda 39 mata

5. Md Adib Rosley (SGR) Yamaha 38 mata

CP115

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 95 mata

2. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 51 mata

3. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 44 mata

4. Md Haziq Md Fairues (SGR) 44 mata

5. Md Haiekal Akmal Zakaria (JHR) 40 mata

WIRA

1. Md Syafiq Ezzariq (SGR) 100 mata

2. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 53 mata

3. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 47 mata

4. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 47 mata

5. Md Aiman Tahiruddin (KUL) Yamaha 40 mata

Berita Harian X