Sabtu, 21 Mei 2016 | 3:05pm

Rakitic tak rai jika Barcelona tewaskan Sevilla


Ivan Rakitic bercakap pada sidang media di Joan Gamber, Barcelona.

MADRID: Perasaan pemain Barcelona, Ivan Rakitic mengenai final Piala Raja Sepanyol jelas bercampur baur selepas dia akan menentang bekas kelabnya, Sevilla di Madrid, awal pagi ini.

Pemain tengah Croatia itu mencetus impak di La Liga Sepanyol bersama kelab Andalusia itu dengan memenangi Liga Europa pada 2014 sebelum menyertai Barcelona.

Rakitic memiliki banyak memori indah di Stadium Sanchez Pizjuan bersama Sevilla sehingga mengatakan dia tidak akan melakukan sebarang keraian jika berjaya menjaringkan gol menentang kelab lamanya itu.

"Saya tidak akan melakukannya (meraikannya), saya menghormati peminat-peminat Sevilla," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu pada pertengahan minggu lalu berkata dia adalah peminat Sevilla ketika pasukan lamanya itu merangkul gelaran ketiga berturut-turut Liga Europa selepas membenam Liverpool, 3-1.

"Pada Rabu, saya meraikan kemenangan Sevilla namun pada Ahad, saya mahu menewaskan mereka," katanya.

Barca menewaskan Sevilla pada kejohanan Piala Super Eropah pada awal musim ini dan pada aksi La Liga, kedua-duanya mencatat kemenangan ketika di laman sendiri.

Rakitic berkata, pertembungan kedua-dua pasukan itu sentiasa istimewa namun ia lebih istimewa kerana kali ini membabitkan aksi final.

Untuk rekod, Sevilla sudah memenangi Piala Raja Sepanyol sebanyak lima kali manakala Barca yang juga penyandang juara, 27 kali. - Reuters

11 dibaca
Berita Harian X