Sabtu, 21 Mei 2016 | 2:06pm

Latih guru kaunseling atasi disiplin pelajar


Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (kiri) beramah mesra dengan murid-murid yang menyertai kem motivasi selepas merasmikan majlis penutupan Kem Motivasi UPSR Eco World di Hotel Good Hope, Skudai. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan perlu melatih lebih ramai guru kaunseling di sekolah bagi menangani masalah disiplin dan tekanan emosi dalam kalangan pelajar.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kementerian sedang mengkaji hukuman rotan tetapi ia adalah pilihan terakhir dalam mendisplinkan pelajar.

"Kementerian Pendidikan perlu melatih lebih ramai guru kaunseling dan memberikan latihan mencukupi kerana tugas mereka bukan sekadar memberi nasihat tetapi juga mengkaji masalah pelajar, terutama yang berdepan tekanan emosi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutupan Kem Motivasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerusi Program Bantuan Pelajar (SAP) Eco World di sini, hari ini.

Lam Thye yang juga Pengerusi Yayasan Eco World berkata, pihak sekolah perlu melihat kes salah laku pelajar kerana tidak semuanya membabitkan kes berat hingga perlu dirotan.

"Kebanyakan guru kaunseling di sekolah tidak mempunyai latihan mencukupi untuk mengendalikan pelbagai kes berkaitan disiplin, selain perlu memastikan pelajar mempunyai kesihatan mental yang baik," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, dilaporkan berkata, cadangan merotan antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun depan tetapi dilakukan secara tertutup.

Berita Harian X