Sabtu, 21 Mei 2016 | 12:50am
SHARNAAZ optimis, segala andaian negatif yang bertebaran terutama melalui media sosial hanya interpretasi orang di luar. - Foto Adi Safri
SHARNAAZ yang terkenal dengan sikap panas baran dan mudah melenting, membuktikan dirinya relevan dan mampu mengumpan pengikut yang ramai. - Foto Adi Safri

Sharnaaz tidak lupa diri lepas menang ABPBH29

BIARPUN sering dihambat kontroversi, namun kejayaan Sharnaaz Ahmad, 30, merangkul dua trofi pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29) baru-baru ini, bagaikan memberi isyarat mengenai keampuhan dirinya dalam industri.

Biar satu persatu cerita sensasi dan gosip panas melingkari perjalanan karier, Sharnaaz yang terkenal dengan sikap panas baran dan mudah melenting, membuktikan dirinya relevan dan mampu mengumpan pengikut yang ramai.

Trofi Pelakon Televisyen (TV) Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular yang dimenanginya pada ABPBH 29 bagai suatu justifikasi terhadap pengorbanan dan penat lelahnya berjuang dalam bidang lakonan sejak tahun 2009.


SHARNAAZ kini mencuba bakat sebagai pengarah dalam projek telefilem Lukisan Cinta terbitan syarikatnya sendiri. - Foto Adi Safri

Lumrah selebriti yang sentiasa menjadi ikutan, mula kedengaran suara sumbang dan andaian berbaur negatif mengenai Sharnaaz yang dikatakan berubah sikap dan lupa diri dengan kemenangan itu.

"Memang saya sudah mula mendengar pelbagai andaian itu dan ini. Ada yang menganggap kejayaan pada ABPBH 29 akan membuat saya lupa diri.

"Tidak kurang juga yang mengandaikan tawaran berlakon akan mula berkurangan. Tapi saya percaya, rezeki itu datang daripada Allah. Saya tak boleh cakap sesuatu perkara yang di luar kawalan dan bidang kuasa.

"Namun, apa yang penting, saya kena terus istiqamah dan fokus kepada kerjaya seni termasuk perkara yang saya minat," katanya kepada BH Plus.

Pada ABPBH 29, Sharnaaz bagaimanapun tidak hadir menerima dua trofi berprestij itu. Ini disebabkan Sharnaaz terikat dengan komitmen bersama produksi program realiti, Gempak Superstar, yang turut disiarkan secara langsung pada malam 8 Mei lalu.

Dalam program Gempak Superstar, Sharnaaz bertindak sebagai hos bersama Scha Alyahya.


SHARNAAZ merangkul trofi Pelakon Televisyen (TV) Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular yang dimenanginya pada ABPBH 29, baru-baru ini. - Gambar fail ABPBH2014 - Hasriyasyah Sabudin

Hanya menggenggam dua trofi terbabit beberapa hari selepas berakhirnya ABPBH 29, Sharnaaz mengaku sejak mula terjun dalam dunia seni, niat yang jelas sudah ditanam dalam sanubari.

"Jika dari dulu saya menceburi dunia seni hanya untuk mencari kemasyhuran dan populariti semata-mata, saya percaya diri ini tak mungkin akan bertahan sampai sekarang.

"Hendak bercakap fasal pelakon sebegitu, memang bersepah. Ada yang datang bersandarkan rupa nak jadi terkenal, pada hal bakat lakonan tak tahu nak dihuraikan bagaimana," katanya.

Hargai sokongan peminat

Tambah Sharnaaz, dia optimis segala andaian negatif yang bertebaran terutama melalui media sosial hanya interpretasi orang di luar.

"Apa yang saya dapat pada ABPBH 29, semuanya rezeki yang ditentukan Allah. Terima kasih kepada pihak ABPBH 29 dan BH yang memberi penghargaan ini sementara saya masih hidup.

"Terima kasih tak terhingga buat peminat insan bernama Sharnaaz Ahmad yang sudi mengundi dan menyokong tanpa rasa berbelah bahagi. Tak lupa juga kepada kelab peminat, Sharnaaz Ahmad Familia.

"InsyaAllah, saya berjanji tak akan lupa diri. Selagi diterima bakat ini, saya akan terus berlakon dan mengacara. Doakan saya terus maju pada masa mendatang," katanya yang mula sibuk dengan persiapan membintangi filem Jebat di samping Nelydia Senrose.

Makin seronok jadi pengacara

Ditanya mengenai percubaan pertamanya menjadi pengacara program Gempak Superstar, pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri, Suamiku Encik Sotong ini melihat ia sebagai ruang untuk membuktikan dirinya versatil.

Atas dasar mencabar diri, Sharnaaz yang pada awalnya menerima kecaman hebat netizen ketika mengendalikan program itu, akhirnya dapat mengikut rentak.

"Kerja mengacara bagi orang yang baharu berjinak-jinak macam saya ini bukanlah mudah. Tapi selepas berakhirnya pertandingan itu, saya akui sudah mula rindu mengacara dan ia antara pengalaman terindah saya pada tahun ini.

"InsyaAllah pada masa mendatang, kalau ada tawaran mengacara lagi yang dilihat sesuai dan mencabar diri, saya akan menerimanya," katanya yang turut mencuba bakat sebagai pengarah dalam projek telefilem Lukisan Cinta terbitan syarikatnya sendiri.

Berita Harian X