Jumaat, 20 Mei 2016 | 1:07am

Akibat cuaca buruk, Lee tamatkan pendakian puncak Everest

PENDAKI lelaki tertua Malaysia James Lee Chong Meng (kiri) yang sedang mengikuti ekspedisi Lions Mount Everest Expedition 2016 bergambar bersama sherpa selepas menjalani latihan penyesuaian diri di Kem Induk Everest, Nepal, 19 April lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pendaki lelaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, 68, terpaksa menamatkan pendakian peringkat akhir ke puncak Gunung Everest berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Pengerusi Ekspedisi, Datuk Javern Lim, berkata penganjur acara berkenaan, Seven Summit Trekkers telah membuat keputusan yang sukar bagi menamatkan pendakian terakhir Lee itu untuk sampai ke puncak Gunung Everest.

Kumpulan pertama terdiri daripada lebih 30 pendaki ke puncak Gunung Everest bermula sejak 12 Mei lepas, terpaksa menamatkan ekspedisi mereka pada 15 Mei lalu, akibat cuaca yang buruk dengan tiupan angin berkelajuan 45 kmsj, sementara Lee berada dalam kumpulan kedua pendaki.

"Dalam keadaan sebegini, kami tidak boleh berkompromi dengan aspek keselamatan pendaki dan Sherpa serta memutuskan untuk membatalkan pendakian akhir dan memberi cadangan kepada Lee untuk kembali pada musim depan bagi mendaki gunung Everest," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Lee telah berjaya menamatkan latihan dan penyesuaian dalam tempoh enam minggu dan berjaya mendaki ke Kem 3 pada ketinggian 7,300 meter dalam suhu -35 darjah Celsius.

Malah seorang daripada Sherpa beliau yang sangat berpengalaman dan telah mendaki Gunung Everest sebanyak lapan kali telah jatuh sakit seminggu lalu.

Walaupun ketiadaan pemandu, beliau masih bertekad untuk meneruskan pendakian," katanya.

Lim berkata, hakikatnya banyak kumpulan yang tidak sampai ke kawasan Kem 1.

"Tidak hairanlah Lee kecewa tetapi bersyukur kerana dijaga dengan baik dan sokongan yang diperoleh beliau," katanya.

"Kami gembira untuk melaporkan bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan tidak sabar untuk pulang tidak lama lagi," kata Lim.

Beliau berkata, mereka sangat berbangga dengan pencapaian Lee dan berbangga kerana beliau telah mencapai kejayaan lebih baik daripada banyak pendaki lain yang lebih muda dan lebih berpengalaman.

"Kami juga amat berterima kasih atas sokongan dan sumbangan daripada semua penaja terhadap kami dan rakan kongsi termasuk di Jabatan Perdana Menteri, Negeri Sembilan, penaja korporat Lions Clubs, rakan-rakan dan ahli keluarga Lee," katanya.

"Kami kini sedang mengatur untuk membawa Lee pulang ke Kuala Lumpur awal minggu depan dan akan memaklumkan tarikh dan waktunya," katanya Lim.

Lee, yang merupakan anggota ekspedisi Lions Mount Everest Expedition (MEE) 2016, yang mempunyai misi menakluk puncak Gunung Everest setinggi 8,848 meter dalam tempah 70 hari dan telah memulakan cabaran itu pada 31 Mac lepas.

Ekspedisi yang dianjurkan oleh Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308 B1, bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam masyarakat dan memperlihatkan semangat 'Malaysia Boleh'.

Lee, yang mula mendaki gunung sebagai hobi semasa berusia 40-an, telah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Turut mengiringi beliau ialah dua Sherpa profesional, Ngaa Tenji, 33, dan Ang Temba, 44.

- BERNAMA

Berita Harian X