Jumaat, 20 Mei 2016 | 12:07am
PERALATAN digunakan bidan kampung untuk rawatan tradisional sebelum dan selepas bersalin. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BARANGAN mengikut adat istiadat yang biasanya diberikan bidan kampung. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BAJU opah iaitu antara barangan istiadat yang perlu disediakan wanita bersalin untuk mendapatkan khidmat bidan kampung. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MASLINA mengurut wanita yang mendapatkan perkhidmatannya sebagai bidan kampung. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bidan muda pernah disiasat Jabatan Pendaftaran


SANDAKAN: Tanggapan bahawa bidan kampung hanyalah wanita warga tua, mungkin tidak lagi sesuai kerana Maslina Mohd Juinto, membuktikan golongan muda juga mampu memikul tugas terbabit.

Maslina, 32, dari Karamunting, Batu Sapi di sini, boleh dianggap antara 'bidan kampung' paling muda di negara ini, kerana memulakan tugas terbabit sejak enam tahun lalu dan setakat ini sudah menyambut kelahiran lebih 20 bayi.

Walaupun di bandar, khidmat 'bidan kampung' sukar ditemui, namun Maslina yang juga ibu kepada empat anak, sering menerima kunjungan wanita bersalin yang mahu mendapatkan kepakarannya.

Berkongsi pengalamannya, Maslina berkata, dia memiliki kemahiran sebagai bidan kerana sejak di bangku sekolah rendah, sering mengikuti arwah ibunya yang juga bidan, menyambut kelahiran bayi.

Namun, ekoran usianya yang dianggap terlalu muda untuk menjadi bidan kampung, dia pernah berdepan siasatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ragu-ragu apabila namanya dimaklumkan bagi tujuan mendaftarkan sijil kelahiran bayi.


MASLINA menunjukkan sijil yang mengiktirafnya sebagai bidan kampung bertauliah. - Foto Poliana Ronnie Sidom

MASLINA mengurut wanita yang mendapatkan perkhidmatannya sebagai bidan kampung. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"JPN sangka saya menipu, namun selepas dua tiga kali, mereka tidak lagi persoalkan dan minta saya berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

"Di sini, bukan semua wanita mahu bersalin di hospital kerana ada yang lebih percaya kepakaran bidan kampung, selain ada yang takut dibedah jika di hospital.

"Kebanyakan yang datang minta bantuan kerana mengenali keluarga saya, tak sempat ke hospital atau tak mampu bayar kos bersalin disebabkan kurang dokumen," katanya sambil menambah dia sendiri melahirkan empat anaknya di rumah dengan dibidankan arwah ibu sendiri.

Sebagai bidan kampung, Maslina berkata, dia masih berpegang kepada adat dan amalan nenek moyang dengan meletakkan beberapa syarat kepada wanita bersalin termasuk menyediakan barangan seperti baju opah, kain sarung, beras, kelapa dan lilin.

Katanya, mengikut etnik Bajau, setiap barangan yang disediakan mempunyai maksud tersendiri.


BERAS iaitu antara bahan diberikan kepada bidan kampung yang mempunyai maksud dalam adat istiadat wanita bersalin bagi etnik Bajau. - Foto Poliana Ronnie Sidom

MAGE


PERALATAN digunakan bidan kampung untuk rawatan tradisional sebelum dan selepas bersalin. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Dari segi bayaran, saya tak pernah tetapkan harga, sebaliknya bergantung kepada keikhlasan wanita bersalin yang datang ke rumah. Pernah orang beri RM50 saja untuk proses bersalin dari berlenggang iaitu usia kandungan tujuh bulan hingga bayi bersunat.

"Bagi saya yang penting adalah ganjaran di akhirat kerana membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Susulan permintaan yang masih ada terhadap perkhidmatan bidan kampung, Maslina mengambil inisiatif membuka pusat terapi tradisional sejak tiga bulan lalu di Bandar Ramai-Ramai dekat sini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan sebelum dan selepas bersalin.

Selain menjadi bidan kampung, Maslina juga bekerja secara sambilan di Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari Hospital Duchess of Kent di sini sebagai tukang urut untuk pesakit yang mengalami angin ahmar dan kesukaran bergerak.

Maslina berkata, wanita bersalin biasanya bukan saja datang ke rumah untuk mendapatkan khidmatnya, malah dia sendiri sedia berkunjung ke rumah mereka jika diminta.

"Selain sekitar bandar ini, ada juga penduduk pulau yang minta bantuan saya sama ada untuk mengurut atau menyambut kelahiran," katanya.


MASLINA (kanan) bersama pembantunya menyusun peralatan bagi rawatan tradisional di pusat terapi tradisional, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

BIODATA MASLINA MOHD JUINTO

Umur: 32 tahun

Pekerjaan: Bidan kampung bertauliah

Asal: Kampung Karamunting, Batu Sapi

Anak: Empat orang

Pengalaman: Enam tahun sebagai bidan kampung

INFO

Lambang barangan syarat wanita bersalin dalam etnik Bajau

  • Baju opah dan kain sarung melambangkan pakaian dipakai etnik Bajau
  • Beras melambangkan tubuh si penerima barangan
  • Kelapa melambangkan kepala si penerima barangan
  • Lilin adalah cahaya yang akan menerangi kehidupan si penerima barangan.
179 dibaca
Berita Harian X