Khamis, 19 Mei 2016 | 10:30pm

Banduan lari dari Hospital Kajang

KAJANG: Seorang banduan dari Penjara Kajang, yang sedang diberi rawatan di Hospital Kajang, dipercayai melarikan diri ke ibu negara, malam ini.

Kehilangan banduan lelaki berusia 44 tahun yang beralamat di Taman Intan Baiduri, Kuala Lumpur, itu disedari pihak hospital sebelum memaklumkan kepada polis jam 9.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kehilangan banduan berkenaan.

"Sebaik kehilangan banduan ini dilaporkan, pihak kami sudah menggerakkan semua elemen di seluruh daerah Kajang dalam mengesan dan menangkap semula banduan terbabit.

"Sehubungan itu, saya meminta mana-mana pihak yang melihat banduan itu memakai seluar penjara warna merah dan berbaju t-shirt putih serta dalam keadaan tangan kiri bersimen untuk memaklumkan segera kepada polis," katanya sebentar tadi.

Banduan berkenaan dilaporkan menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 17 Mei lalu dan berakhir pada 4 Disember depan berhubung kes berkaitan dadah.


SEORANG banduan dari Penjara Kajang, yang sedang diberi rawatan di Hospital Kajang, dipercayai melarikan diri ke ibu negara, malam ini. - Foto hiasan

Berita Harian X