Khamis, 19 Mei 2016 | 4:29pm

60 peratus surat ke Langkawi tanpa alamat lengkap


Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan (kiri) menyerahkan beg kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Penarak, Syed Alwi Syed Ambon (kanan sekali) pada majlis penyerahan beg kepada 45 pengerusi dan setiausaha JKKK dalam DUN Kuah di Pejabat KEMAS Langkawi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Projek 'Alamat Untuk Semua' yang giat dilaksanakan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) diyakini mampu menyelesaikan masalah 15,000 rumah dan premis tidak beralamat di pulau ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,000 premis berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah.

"Pada peringkat permulaan, Pos Malaysia dengan kerjasama pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), berusaha mengemaskini alamat membabitkan lebih 630 rumah di Pulau Tuba.

"Selepas itu, usaha sama akan dilakukan di DUN Kuah kerana isu tiada alamat ini perlu diselesaikan segera, bagi memastikan masalah penghantaran dan penerimaan surat oleh penerima yang tepat tidak lagi berlaku.

"Sebaik projek siap, tiada lagi amalan penduduk bergantung kepada alamat kedai dan balai raya untuk menerima surat," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan beg kepada 45 pengerusi dan setiausaha JKKK dalam DUN Kuah di Pejabat KEMAS di sini, hari ini.

Nor Saidi berkata, sejumlah 11,000 surat diproses Pos Malaysia setiap hari di Langkawi dan 60 peratus daripadanya tiada alamat lengkap, sekali gus menyukarkan proses penghantaran kepada penerima yang tepat.

"Masalah itu sudah lama berlaku dan ia dikenal pasti sering menyukarkan pelajar dan belia menunggu surat tawaran kerja dan melanjutkan pengajian ke universiti.

"Saya berharap dengan program `Alamat Untuk Semua' yang mewajibkan semua rumah memiliki nombor sendiri, akan memudahkan perhubungan surat-menyurat untuk penduduk luar bandar," katanya.

Berita Harian X