Khamis, 19 Mei 2016 | 9:16am

Syarikat bas ekspres bawa motosikal berdepan tindakan - SPAD


GAMBAR fail keadaan bas ekspres yang turut membawa empat motosikal musnah dalam kebakaran di KM209 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di Ayer Keroh, Melaka, Isnin lalu. - Foto ihsan pembaca

MELAKA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memanggil pengurusan sebuah syarikat pengangkutan untuk memberi keterangan berikutan insiden sebuah bas ekspres membawa empat motosikal hangus terbakar di Kilometer 209 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, di sini, malam Ahad lalu.

SPAD dalam satu kenyataan kepada BH berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali bas ekspres untuk membawa kenderaan lain di dalam bas.

Sebaliknya, pihak terbabit hanya dibolehkan membawa penumpang dan bagasi berdasarkan had berat barangan dibenarkan.

"SPAD akan memanggil pengendali syarikat bas ekspres ini dan mereka boleh dikenakan tindakan kerana membawa barangan bukan bagasi yang jelas tidak mengikuti syarat dalam lesen, sekali gus boleh menjejaskan keselamatan penumpang.

"Lesen pengendali bas ekspres hanya untuk pengangkutan orang awam dan bagasi, manakala membawa motosikal tidak dibenarkan," kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, bas dua tingkat dalam perjalanan dari Perlis ke Melaka itu dilaporkan turut membawa empat motosikal di bahagian dek bawah.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua lapan penumpang serta dua pemandu selamat.

SPAD dalam kenyataan itu berkata, sebaik kertas siasatan dilengkapkan, pihaknya akan menyerahkan keputusan denda atau tindakan pendakwaan di mahkamah.

"SPAD tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan pengendali bas ekspres bertanggungjawab ke atas pengguna bas.

"Kita boleh membatalkan atau menggantung lesen pengendali bas mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 jika didapati lalai memastikan keselamatan penumpang, melanggar undang-undang atau melanggar syarat lesen," katanya.

151 dibaca
Berita Harian X