Khamis, 19 Mei 2016 | 9:00am

SME Bank sasar tingkat 20 peratus pembiayaan PKS


KETUA Pembiayaan Program SME Bank, Aliman Ali. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: SME Bank menyasarkan peningkatan 10 hingga 20 peratus portfolio pembiayaan kepada usahawan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun depan, berbanding RM120 juta yang diperuntukkan untuk tahun ini.

Ketua Pembiayaan Program SME Bank, Aliman Ali, berkata sasaran peningkatan itu terutama bakal dipacu oleh pengenalan pelbagai program pembiayaan, termasuk Pembiayaan Kewangan Perniagaan Atas Talian (OBF).

Katanya, sejak bank itu ditubuhkan pada 2005 sehingga kini, ia sudah menyalurkan RM5.4 bilion portfolio pembiayaan kepada PKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, cabang perniagaan yang banyak mendapat bantuan SME Bank adalah daripada industri pembuatan dan perkhidmatan.

"Pertumbuhan usahawan PKS semakin berkembang pesat apabila dana yang diperuntukkan sentiasa tidak mencukupi. Berikutan permintaan yang menggalakkan daripada golongan terbabit, kerajaan sentiasa menambah dana pinjaman untuk sektor itu antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas menyampaikan 'Pocket Talk' bertajuk Kemudahan Pinjaman untuk PKS pada pameran Tahunan SMIDEX 2016 di sini, semalam.

Aliman berkata, daripada rangkaian produk pembiayaan yang ditawarkan, program BAP paling mendapat permintaan tinggi daripada usahawan PKS.

Katanya, ia berikutan kadar faedah yang ditawarkan adalah rendah berbanding bank tempatan lain iaitu empat peratus setahun.

"Kita dapat kerjasama daripada SME Corp yang turut memudahkan usahawan mendapatkan pinjaman daripada SME Bank. Bayaran balik pinjaman daripada peminjam juga menunjukkan aliran positif, sekali gus memudahkan pihak bank terus konsisten menyediakan bantuan dana mencukupi bagi usahawan, khususnya Bumiputera," katanya.

Selain bantuan dana, SME Bank turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan latihan sehingga perniagaan yang diusahakan menunjukkan aliran positif.

Mengulas lanjut, Aliman berkata, bagi membolehkan usahawan PKS mampu bersaing dengan industri luar, mereka perlu menghasilkan lebih banyak produk inovatif untuk kekal kompetitif di pasaran global.

"PKS tak boleh berada di takuk lama, mereka kena bangunkan produk baharu yang lebih realistik dan menepati cita rasa masyarakat masa kini," katanya.

INFO

  • SME Bank ditubuhkan pada 2005
  • Tahun ini memperuntukkan RM120 juta untuk pembiayaan dana PKS
  • Sejak ditubuhkan, SME bank sedia RM5.4 bilion pembiayaan
  • Jenis pembiayaan - Pembiayaan Kewangan Perniagaan Atas Talian (OBF)
  • Dana Usahawan Muda (YEF)
  • Program Pengembangan Perniagaan (BAP)
  • Tabung Usahawan Siswazah (TUS)
  • Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED)
Berita Harian X