Khamis, 19 Mei 2016 | 12:04am
SAFIAH Ismail. - Foto Shahrinnahar Latib
SAFIAH melayan pelanggan di gerai miliknya. - Foto Shahrinnahar Latib
DAPUR kayu yang digunakan oleh Safiah. - Foto Shahrinnahar Latib
SAFIAH memotong pisang untuk digoreng. - Foto Shahrinnahar Latib
SAFIAH melayan pelanggan yang ingin membeli pisang goreng di gerainya dekat Kampung Tengah. - Foto Shahrinnahar Latib

Pisang goreng aroma kayu api jadi rebutan


KUANTAN: Aroma dan kerangupan pisang, digoreng dalam kuali menggunakan dapur kayu sejak 30 tahun lalu, menjadi taruhan seorang ibu tunggal bertahan mengusahakan sebuah gerai usang dekat Jalan Kampung Tengah di sini.

Gerai milik Safiah Ismail, 65, cukup sinonim kepada warga bandar ini untuk mendapatkan pisang goreng dan kuih tradisional, cek mek molek, sebagai hidangan minum petang, sama ada dibungkus atau makan di situ.

Pelanggan biasanya datang awal dan sanggup menunggu warga emas itu menggoreng pisang, bermula jam 12 tengah hari untuk membelinya ketika panas. Jika datang selepas jam 4 petang, pada ada yang kempunan.

Permintaan pelanggan membolehkan ibu kepada enam anak itu, yang menggunakan dapur kayu terbabit sejak 30 tahun lalu, mampu meraih sehingga RM500 sehari, hasil jualan pisang goreng di gerainya.

"Bukan enggan guna gas memasak tetapi saya mahu mengekalkan kaedah tradisional, yang menjadi punca pisang goreng ini pilihan pelanggan yang menyifatkan ia lebih sedap dan rangup.

"Ini kerana pisang yang digoreng menggunakan dapur kayu, tidak menyerap banyak minyak kerana api terhasil lebih panas berbanding penggunaan gas," katanya di sini, semalam.

Demi memenuhi permintaan, setiap hari Safiah memerlukan kira-kira 70 kilogram pisang, sama ada pisang nangka dan siam yang dibeli daripada penduduk setempat, sebelum dicelup dalam adunan tepung gandum dan beras, menggunakan resipi warisan keluarganya.

Safiah juga teliti memilih pisang masak yang sesuai untuk digoreng, selain cara menggoreng dan menyediakan campuran ramuan secukup rasa. Tempoh menggoreng diambil kira bagi memastikan pisang tidak hangus dan pahit.

IMAGE


PISANG goreng yang siap dimasak menggunakan dapur kayu di gerai milik Safiah. - Foto Shahrinnahar Latib

"Ada orang yang datang melihat sendiri bahan yang saya guna untuk membuat tepung tetapi apabila dicuba di rumah, mereka mengatakan tidak sesedap seperti yang saya jual.

"Mungkin pengalaman saya selama ini membuatkan saya mampu membuat sukatan yang betul setiap kali menyediakan goreng pisang hingga membuatkannya sedap," katanya.

Selain pisang goreng, gerainya turut menjual pelbagai jenis air, kuih karipap, keropok lekor dan kuih cek mek molek.

"Alhamdulillah dengan titik peluh berniaga goreng pisang ini, saya mampu membesarkan enam orang anak saya yang kini sudah berusia antara 30 hingga 40 tahun," katanya.

Sementara itu, pelanggan tetapnya, Saiful Mohd Nor, 37, berkata gerai itu menjadi lokasi tetap untuk membeli pisang goreng sejak 11 tahun lalu.


SAFIAH sedang melayan pelanggan yang ingin menikmati pisang goreng menggunakan dapur kayu gerainya di Kampung Tengah. - Foto Shahrinnahar Latib

PEKERJA Safiah menggoreng pisang dengan menggunakan dapur kayu di Kampung Tengah. - Foto Shahrinnahar Latib

Beliau yang juga atendan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini berkata, pisang goreng yang dijual di situ berbeza daripada tempat lain kerana menggunakan dapur kayu, selain rasanya yang lebih beraroma dan rangup.

"Saya memang menyukai pisang goreng di sini, sejak dulu lagi kerap datang ke sini bersama rakan-rakan untuk menikmati keenakan goreng pisang ini," katanya.

Rakannya, Samsul Zainal, 37, menyifatkan gerai Safiah bukan mempunyai pisang goreng yang sedap tetapi kuih tradisional cek mek molek yang dijual di situ turut menjadi kegemarannya serta pengunjung lain.

"Kuih cek mek molek yang dijual di sini sedap kerana lembut selain disira gula. Ada kalanya jika datang selepas jam 2 petang, pasti ada yang kempunan. Ramai rakan turut mengirim jika mengetahui saya datang ke gerai ini.

"Memang ramai yang sanggup menunggu untuk beli pisang goreng panas atau kuih cek mek molek kerana harganya murah dan sedap," katanya.

INFO

  • Nilai jualan sehari mencapai RM500

  • Harga jualan RM1 - 5 keping

  • Operasi gerai - 12 tgh - 6 petang

  • Gerai dibuka Isnin - Jumaat.

  • Isi pisang¬†siam manis selepas digoreng.

    li> Pisang nangka lembut dan sedikit masam lepas digoreng.

Berita Harian X