Rabu, 18 Mei 2016 | 8:44pm

Dua terbunuh nahas di Pekan Siburan


KEADAAN kenderaan Perodua Viva dan Toyota Hilux yang terbabit dalam nahas petang tadi.

SERIAN: Dua terbunuh selepas Perodua Viva dinaiki mereka bertembung kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux di Pekan Siburan, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lagi penumpang kereta berkenaan turut cedera parah.

Difahamkan, kereta mangsa dirempuh kenderaan 4WD terbabit yang menghala ke arah Bandaraya Kuching dari Serian, ketika keluar dari persimpangan lampu isyarat Pekan Siburan.

Impak pelanggaran menyebabkan pemandu kereta, Stewart Bujeng Labor, tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita kelainan upaya (OKU), Julie Stewart, 30, mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Siburan menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.15 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Kami mengambil setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa dari dalam kereta yang remuk menggunakan peralatan hidraulik," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat, manakala dua lagi penumpang yang cedera parah turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X