Rabu, 18 Mei 2016 | 6:12pm

Perak sedia hadapi kesan fenomena La Nina


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin. - Foto L Manimaran

BAGAN SERAI: Kerajaan negeri sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan kesan daripada fenomena La Nina yang mengakibatkan hujan lebat melanda di beberapa negeri di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata ia termasuk persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir kesan daripada fenomena berkenaan.

"Bagi Daerah Kerian yang kerap berdepan situasi banjir, kita sedia maklum projek RTB (Rancangan Tebatan Banjir) yang dilaksanakan sudah siap sepenuhnya.

"Itu perancangan yang sudah dilaksanakan dan diharapkan ia akan dapat membantu mengelak bencana banjir yang sering melanda daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Lampu Jalan Kampung (PLJ) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Fasa 7 Peringkat Daerah Kerian di sini hari ini.

PTB Daerah Kerian dimulakan sejak Mac 2012 itu dengan kos RM390 juta.

Mengulas PLJ Fasa 7 yang dilaksanakan dan diperkenalkan tahun ini, Zainol berkata kuota pemasangan yang diluluskan untuk seluruh negeri Perak adalah sebanyak 6,000 unit dengan 898 daripadanya adalah untuk Daerah Kerian.

Katanya, sepanjang pelaksanaan PLJ membabitkan enam fasa lain sebelum ini, sebanyak 30,309 unit sudah dipasang di seluruh negeri dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bertindak sebagai agensi pelaksanaan dan kontraktor.

Berita Harian X