Rabu, 18 Mei 2016 | 5:58pm

Semua kantin sekolah di Kelantan bakal miliki sijil halal


MOHD Rahim (tengah) bersama Ab Aziz Abdullah (kiri) dan penceramah yang mewakili Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Muhammad Hawari Hassan pada majlis penutup Seminar memahami konsep Halalan Toyyiban dan Pensijilan Halal Malaysia di Balai Islam, di Lundang, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) untuk memberikan persijilan halal kepada semua kantin sekolah di negeri ini.

Pengarah JPN, Datuk Ab Aziz Abdullah, berkata usaha yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan mengutamakan sekolah yang mempunyai bilangan pelajar ramai.

"Kita akan mulakan dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kerana penyediaan makanan sudah pasti dalam kuantiti yang banyak.

"Jadi, kita akan bekerjasama dengan JAHEAIK dan JAKIM untuk membantu menaik taraf dan menambah baik kualiti penyediaan makanan di kantin SBP, sekali gus memperoleh sijil halal," katanya selepas majlis penutup Seminar memahami konsep Halalan Toyyiban dan Pensijilan Halal Malaysia di Balai Islam, di sini, hari ini.

Seramai 400 pengusaha kantin, penyelia asrama dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas hadir pada majlis itu.

Ab Aziz berkata, sebelum ini pihaknya hanya mengadakan penarafan kantin sekolah menerusi Jabatan Kesihatan Negeri untuk menentukan gred kebersihan.

"Setakat ini, sebanyak 529 sekolah rendah dan menengah di negeri ini mencapai gred A dan B dari segi kebersihan kantin," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata setakat ini belum ada kantin sekolah di negeri ini memiliki sijil halal.

"Kami akan membantu dari segi prosedur dan audit supaya mencapai tahap halal ditetapkan sama ada dari segi kualiti, penyediaan, penyimpanan makanan dan sumber bahan digunakan," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X