Rabu, 18 Mei 2016 | 1:47pm

Polis tumpas sindiket dadah terbesar di Sibu

SIBU: Polis Sarawak menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai antara yang terbesar di negeri ini susulan penahanan sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salim - Stabau, di sini, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu susulan maklumat risikan hasil aduan awam yang mengesyaki kehidupan mewah pasangan terbabit dipercayai diperoleh daripada sumber meragukan.

Hasil serbuan turut membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah bernilai RM286,000 disembunyikan dalam rumah berkenaan, dipercayai diseludup masuk ke negeri ini dari Semenanjung.

Turut dirampas, dua jenis kenderaan masing-masing jenis Toyota Hilux bernilai RM95,000 dan PERODUA Myvi bernilai RM30,000, selain pelbagai barang kemas serta wang tunai bernilai RM15,000 yang dipercayai dibeli menggunakan hasil kegiatan haram itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo, berkata pasangan terbabit kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita sedang meneliti modus operandi digunakan sindiket ini, termasuk bagaimana mereka memperoleh sumber bahan terlarang itu dari Semenanjung, kemudian diseludup masuk ke Sarawak.

"Kita juga sedang menyiasat rangkaian pengedaran mereka di Sibu dan bahagian lain di Sarawak. Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan lelaki itu mengendalikan sebuah perniagaan kecil," katanya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Beliau turut mengesahkan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah.

"Selain 3,728 biji pil Estacy pelbagai saiz bernilai RM180,000, kita turut merampas 900 gram serbuk ketamin yang dianggarkan bernilai RM100,000 mengikut pasaran semasa, selain 250 pil Eramine 5 bernilai RM3,000 dan 48 gram serbuk Estacy bernilai RM500.

"Kita tidak menolak kemungkinan lokasi serbuan turut dijadikan pusat pembungkusan semula dadah berkenaan untuk pasaran tempatan, terutama di Sibu dan beberapa bandar lain di Sarawak," katanya.

Berita Harian X