Selasa, 17 Mei 2016 | 5:01pm

KMJ jadi jenama baharu untuk Johor - MB


GAMBAR fail bertarikh 14 Mei, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar merasmikan gimik majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 dan diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin (tiga dari kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim (dua dari kanan) di Dataran Bandaraya Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang memperkenalkan pembaharuan unik dan tersendiri saban tahun menjadi satu jenama baharu untuk Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata KMJ menunjukkan pendekatan inovatif untuk menjadikan perjalanan sepanjang jelajah itu memberi kesan.

"Tanpa kita sedari, acara tahunan ini menjadi sinonim dengan Johor dan sentiasa dinanti-nantikan.

"Apa yang membuatkan KMJ unik adalah bagaimana Sultan Johor serta seluruh kerabat Diraja menyantuni anak bangsa dan sekalian rakyat jelata dengan pendekatan dan sentuhan tersendiri, bersahaja tanpa protokol dan sangat penuh kemesraan," katanya.

Mohamed Khaled berkata, KMJ adalah jenama paling sesuai menggambarkan Sultan dan rakyat berpisah tiada dan diterjemahkan dengan bersungguh-sungguh saban tahun tanpa jemu.

"Jenama seumpama inilah yang memperkukuhkan lagi sistem Raja Berperlembagaan di Johor dan Malaysia," katanya berucap pada penutup KMJ 2016 di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini hari ini.

KMJ 2016 melabuhkan tirainya, hari ini, selepas empat hari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendekati rakyat di semua 10 daerah di negeri ini membabitkan perjalanan sejauh 842 kilometer.

Turut berangkat hadir, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Puteri, Tunku Tun Aminah.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada jam 2.45 petang itu disusuli nyanyian lagu Bangsa Johor dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Berita Harian X