Isnin, 3 November 2014 | 6:42pm
KETUA Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman (kiri) mendengar taklimat yang disampaikan anggota Bomba dan Penyelamat membabitkan laluan bagi mencari Ahmad Rafikin Azman, 16, yang hilang di Hutan Lipur Air Terjun Sekayu, kelmarin. - Foto Nazdy Harun

Hutan Lipur Sekayu ditutup sementara untuk operasi cari pelajar

HULU TERENGGANU: Kawasan Hutan Lipur Air Terjun Sekayu ditutup sementara kepada orang ramai semasa operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar Tingkatan Empat yang hilang ketika menyertai perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom di sini, dua hari lepas, dijalankan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Rosli Mohd Amir, berkata kawasan Sekayu ditutup kepada awam petang tadi kerana kehadiran orang ramai yang 'cuba membantu' sebenarnya mengganggu kawasan pencarian itu.

"Kita terpaksa menutup seketika kawasan ini bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku terhadap keselamatan pengunjung yang cuba membantu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, cuaca gelap dan hujan lebat membahayakan keselamatan pengunjung yang bermandi manda ataupun berkelah di kawasan Hutan Lipur Air Terjun Sekayu.

Pusat peranginan itu akan dibuka seperti biasa selepas Ahmad Rafikin Azman, 16, dapat ditemui pihak penyelamat.

Rosli berkata, operasi mencari pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu masih menemui jalan buntu.

"Sehingga petang tadi, tiada petunjuk ditemui walaupun kawasan pencarian diperluaskan dan penambahan 143 anggota penyelamat dari pelbagai agensi," katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran melalui media sosial seperti Whatsapp dan Facebook mengenai kejadian itu kerana ia mengelirukan orang ramai dan mengganggu emosi anggota keluarga mangsa.

- BERNAMA

29 dibaca
Berita Harian X