Selasa, 17 Mei 2016 | 3:33pm

ECERDC labur RM650j bagi projek infrastruktur MCKIP

KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan membelanjakan sebanyak RM650 juta bagi keseluruhan projek infrastruktur berkaitan kawasan industri Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata infrastruktur itu meliputi jalan penghubung utama dari MCKIP yang terletak di Gebeng di sini menuju ke Pelabuhan Kuantan dan Lebuhraya Pantai Timur.

"Paip retikulasi dan tangki-tangki simpanan air yang baharu juga telah dan sedang dibina bagi memastikan bekalan air yang stabil yang dapat memberi keyakinan kepada pelabur," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Adnan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang bertanya kejayaan dan usaha penambahbaikan bagi membanyakkan promosi pelaburan MCKIP yang merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia dibangunkan bersama dengan China.

Beliau turut memaklumkan MCKIP berkeluasan 566.5 hektar, iaitu 287 hektar bagi Fasa 1 manakala Fasa 2 seluas 279 hektar. Pemaju induk adalah syarikat Malaysia-China Industrial Park Sdn Bhd dengan usaha sama 51:49 konsortium Malaysia dan China.

"Pembangunan Fasa 1 MCKIP Fasa 1 membabitkan pembinaan kilang besi dan keluli moden bersepadu oleh Syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd dengan pelaburan sejumlah RM5.6 bilion yang akan menjana 3,515 peluang pekerjaan," katanya.

Adnan berkata, kerja tanah bagi projek itu telah selesai pada Disember tahun lepas manakala pembinaan kilang, bangunan pentadbiran dan asrama pekerja telah bermula pada Mac 2016.

Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti tanah seluas 404 hektar berdekatan MCKIP bagi pembangunan fasa MCKIP seterusnya.

Katanya, kerajaan negeri juga mendapat sokongan ECERDC yang akan bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)dan Lembaga Pembangunan Pelabiran Malaysia (MIDA) dalam mempromosikan MCKIP. - BERNAMA

Berita Harian X