Selasa, 17 Mei 2016 | 2:01pm

Mesyuarat bincang masalah air 26 Mei

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat khas membincangkan dan mencari penyelesaian berhubung masalah kekurangan sumber air di negara ini akan diadakan pada 26 Mei depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mesyuarat diketuai Majlis Sumber Air Negara (MSAN) itu akan turut disertai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Katanya, mesyuarat itu akan menyentuh pelbagai perkara, termasuklah penentuan peranan Kerajaan Pusat dan negeri di kawasan kelabu berhampiran empangan bagi menyelesaikan pertindihan kuasa berhubung pengurusan air.

"Air di dalam sungai adalah di bawah kuasa negeri dan terpulang pada mereka bagaimana mahu uruskannya, dan apabila air itu memasuki empangan, ia menjadi tanggungjawab persekutuan.

"Bagaimanapun, persoalan timbul pada kawasan kelabu seperti kawasan takungan air berhampiran sungai dan empangan, siapa yang bertanggungjawab.

"Kami mencadangkan Kerajaan Persekutuan memainkan peranan lebih besar bagi memastikan sumber air terus menjadi aset penting negara pada masa depan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Berita Harian X