Selasa, 17 Mei 2016 | 1:28pm

116 program disusun sempena Pemukiman Kerian


DATUK Sham Mat Sahat.

PARIT BUNTAR: Sebanyak 116 program disusun sepanjang berlangsungnya Pemukiman Daerah Kerian bermula hari ini hingga Jumaat, yang memberikan tumpuan kepada golongan fokus khususnya nelayan, petani, peniaga kecil dan rakyat berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, antara diberi tumpuan pada pemukiman kedua negeri Perak kali ini adalah bantuan kepada pesawah yang terkesan dengan fenomena El Nino serta bantuan sara hidup kepada nelayan di seluruh daerah Kerian.

Katanya, seramai 2,350 pesawah yang terpaksa menangguhkan aktiviti penanaman padi sejak hampir sebulan lalu berikutan cuaca panas melampau hingga mengakibatkan saliran pengairan padi terpaksa dicatu akan menerima bantuan masing-masing daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Khamis ini.

"Pemukiman kali ini juga akan membabitkan penyertaan semua kaum dan lapisan masyarakat termasuk masyarakat Cina dan India.

"Seramai 2,800 nelayan akan menerima bantuan sara hidup, 30 peniaga kecil sumbangan Kiosk Aman Jaya manakala 300 golongan kurang berkemampuan masing-masing 150 dari Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai akan menerima sumbangan bakul makanan sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU)," katanya ketika memberikan taklimat pemukiman kepada petugas media di Pejabat Tanah dan Daerah Kerian di sini, hari ini.

Selain itu, Sham berkata, seramai 20 penduduk menerima manfaat baikpulih rumah bernilai RM15,000 bagi setiap rumah.

Katanya, pada program pemukiman kali ini juga, Menteri Besar akan melancarkan Projek Perumahan Mampu Milik membabitkan pembinaan 160 unit kediaman di kawasan seluas kira-kira 4.04 hektar berhampiran persimpangan bertingkat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Alor Pongsu.

"Projek perumahan ini akan dibangunkan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan mempunyai nilai tambah berikutan lokasinya yang terletak bersebelahan persimpangan bertingkat PLUS Alor Pongsu yang akan dibuka secara rasmi pada 1 Jun ini," katanya.

Pemukiman Daerah Kerian kali ini membabitkan dua kawasan Parlimen dan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai serta DUN Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Semanggol dan Selinsing.

Berita Harian X