Isnin, 3 November 2014 | 5:51pm
NURIN Dini Zulkifli, 17 yang mengidap eplastic anemia terpaksa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang mengulangkaji pelajaran di Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto Danial Noordin

Nurin kuatkan semangat duduki SPM di hospital

ALOR SETAR: Walaupun menghidap penyakit 'anemia aplasia' dan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan, ia bukanlah penghalang buat Nurin Dini Zulkefli, 17, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Nurin Dini yang didiagnosis menghidap penyakit itu pada Julai lalu menunjukkan semangat yang kental walaupun terpaksa menjawab peperiksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

"Sudah dua minggu saya di sini tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk menduduki SPM atas berkat doa dan sokongan yang tidak putus-putus daripada keluarga dan rakan-rakan saya.

"Walaupun menghidap penyakit ini, ia bukanlah penghalang bagi diri saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan ia tidak mengganggu proses pembelajaran dan ulang kaji saya. Malah saya rasa bersemangat untuk menduduki peperiksaan hari ini dan seterusnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSB.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa, Jitra itu berkata, dia berharap usahanya selama ini akan membawa kejayaan dan mendapat keputusan yang cemerlang yang boleh dibanggakan oleh ibu bapanya.

"Rakan-rakan kelas ada datang berjumpa saya di hospital untuk mengadakan sesi ulang kaji bersama-sama dan ia banyak membantu saya membuat persediaan untuk menduduki SPM. Ibu bapa juga tidak pernah putus-putus memberi sokongan kepada saya," katanya.

Katanya, dia menyasar mendapat 5A dalam peperiksaan SPM dan bercita-cita untuk menjadi seorang guru yang dapat menolong anak bangsa suatu hari kelak.

Seramai 36,526 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 280 pusat peperiksaan di Kedah.

Selain Nurin Dini, tujuh lagi pelajar juga terpaksa menduduki peperiksaan SPM di beberapa hospital di negeri ini kerana mengalami masalah kesihatan iaitu masing-masing dua orang di Hospital Baling dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani manakala masing-masing seorang di Hospital Langkawi, Sik dan Kulim.

- BERNAMA

Berita Harian X