Isnin, 16 Mei 2016 | 10:55pm
MAYAT seorang lelaki warga Myanmar ditemui di tepi landasan dekat Kampung Manggis di Bukit Mertajam, dipercayai akibat dilanggar kereta api, pagi tadi. - Foto hiasan

Lelaki Myanmar ditemui mati tepi landasan

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui di tepi landasan dekat Kampung Manggis di sini, dipercayai akibat dilanggar kereta api, pagi tadi.

Mayat tanpa baju itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 9.20 pagi, sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata mangsa dikenali Shwe Aung, 39, ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan luka di kepala dan patah di pergelangan tangan kiri.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa yang mempunyai tatu di dada, dipercayai dilanggar kereta api berikutan kecederaan yang dialaminya.

"Siasatan lanjut sedang dibuat dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian ini," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk dibedah siasat.

22 dibaca
Berita Harian X