Isnin, 16 Mei 2016 | 9:20pm

Pemuliharaan habitat kerang perlu disegerakan

ABU Talib (kanan) bersalam dengan peserta Seminar Konsultansi Kerang Bersama Pihak Berkepentingan anjuran Jabatan Perikanan, di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Tindakan pemuliharaan habitat pembiakan kerang dan mencegah pencemaran muara sungai perlu disegerakan bagi menangani kadar kematian tinggi hidupan laut yang juga antara sumber protin termurah penduduk negara ini.

Pengarah Kanan (Bahagian Penyelidikan) Perikanan, Abu Talib Ahmad, Malaysia bertuah kerana mempunyai habitat yang sesuai bagi kerang membiak terutama di Selangor, Perak dan Johor tetapi kini semakin terancam.

"Di Selangor, terutama di perairan Sungai Buloh, Sabak Bernam dan Kuala Selangor, kehadiran Fitoplankton yang banyak sebagai makanan dan dasar laut yang berselut menjadikannya habitat sesuai bagi kerang membiak tetapi kadarnya merosot secara mendadak sejak kebelakangan ini akibat pencemaran.

"Pencemaran juga mengakibatkan kerang mengalami tekanan, sekali gus membuatkannya berhenti makan atau membiak dan akhirnya mati. Justeru, semua pihak berkepentingan perlu menyelaras usaha bersepadu bagi memastikan kesinambungan industri penternakan kerang, terutama di Selangor.

"Sehubungan itu, kita perlu wujudkan pelan pengurusan yang boleh dikuatkuasa atau dijadikan undang-undang bagi melindungi industri penternakan kerang," katanya pada sidang media selepas Seminar Konsultansi Kerang Bersama Pihak Berkepentingan anjuran Jabatan Perikanan, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Dr Marzuki Hashim; Pengarah Perikanan Selangor, Azlisha Ab Aziz dan Ketua Projek Kajian Kerang Selangor, Dr Alias Man.

Seminar itu disertai 87 nelayan dan pihak berkepentingan dari Selangor. Secara keseluruhan, terdapat 200 plot ternakan kerang di Selangor dengan setiap satu diusahakan antara lima hingga 10 nelayan.

Abu Talib berkata, pelan pengurusan yang disyorkan pihaknya merangkumi pelaksanaan lima pendekatan penting iaitu mengurangkan pencemaran sisa pepejal di muara Sungai Buloh yang menjadi habitat pembiakan kerang, mengurangkan pencemaran sampah dan ammonia, meningkatkan benih kerang dengan menambah induk kerang, menguatkuasa musim tertutup (larangan) menuai kerang dan menguatkuasa inti pati pelan pengurusan membabitkan semua pihak berkepentingan.

Sementara itu, Dr Alias berkata perairan negara yang menjadi habitat amat sesuai untuk kerang membiak mengakibatkan permintaan tinggi bagi benih kerang, sekali gus menjadi punca ia banyak diseludup ke negara jiran, di mana harganya jauh lebih tinggi.

"Selain membanteras penyeludupan, nelayan juga harus menuai secara bertanggungjawab supaya perairan negara mempunyai induk kerang yang mencukupi bagi menjamin bekalan masa hadapan.

"Perairan kita bertuah kerana menjadi habitat kerang membiak dan kita harus bertanggungjawab melindungi khazanah negara ini, baik daripada pencemaran, penuaian berlebihan dan penyeludupan benih," katanya.

Berita Harian X