Isnin, 16 Mei 2016 | 9:16pm

Perak cadang salur air Sungai Perak ke Bukit Merah


ZAMBRY bersama Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ir Mohd Yusof Mohd (kanan) pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat di Bangunan LAP, Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Kerajaan negeri bercadang menyalurkan air Sungai Perak ke Sungai Kurau sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan paras takungan air di Kolam Bukit Merah sentiasa pada paras normal, termasuk ketika musim kemarau.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya masih mengenal pasti kawasan yang bersesuaian sebelum mengemukakan kertas kerja kepada Kerajaan Pusat untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Kita akan menggerudi telaga tebing untuk dibuat terusan atau terowong khas bagi mengalirkan air dari Sungai Perak ke Sungai Kurau, sekali gus mampu membekalkan air kepada penduduk di daerah Kerian serta sebahagian penduduk Kamunting.

"Apapun, kita perlu berbincang dengan Kerajaan Pusat kerana kos projek ini memerlukan perbelanjaan lebih kurang RM300 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak (LAP) di sini petang tadi. 

Zambry berkata, antara cadangan lain yang diambil kira untuk mengatasi masalah takungan air itu adalah melakukan Teknik Sistem Penapisan Tebing Sungai (RBF) yang sebelum ini dilakukan di Kuala Kangsar lebih kurang tiga tahun lalu.

"Di Kuala Kangsar, RBF berjaya membekalkan sebanyak 25 juta liter air sehari kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Cadangan lain pula adalah untuk mendalamkan lagi Kolam Bukit Merah namun ia perlu dilakukan secara teliti berikutan statusnya sebagai salah satu kolam tertua di negara ini yang berusia 110 tahun," katanya.

Berita Harian X