Isnin, 16 Mei 2016 | 2:51pm

Penculik Filipina ancam bunuh tebusan


(DARI kiri) Robert Hall, John Risdel dan Kjartan Sekkingstad.

MANILA: Militan Filipina yang memenggal kepala lelaki Kanada bulan lalu mengancam membunuh seorang lagi tebusan Barat jika wang tebusan jutaan dolar tidak dibayar dalam masa empat minggu.

Video disiarkan pergerakan Abu Sayyaf yang pemimpinnya melafazkan ikrar setia kepada IS, menunjukkan rakyat Kanada, Robert Hall dan warga Norway, Kjartan Sekkingstad, memakai baju jingga di dalam hutan serta dikelilingi lelaki bersenjata.

Mereka berkata, penculik mengancam membunuh seorang daripada mereka jika wang tebusan tidak diterima menjelang 13 Jun ini.

Sari kata pada video berkenaan yang disiarkan laman pemantauan keganasan, SITE Intelligence Group, menyatakan Abu Sayyaf menuntut sebanyak 600 juta peso (RM51.7 juta).

April lalu, kumpulan itu membunuh John Ridsdel selepas tarikh akhir membayar wang tebusan tamat.

Ridsdel, Hall, Sekkingstad, dan teman wanita Hall berketurunan Filipina diculik pada 2015 dari pusat peranginan Pulau Samal, ratusan kilometer dari kubu kuat pergerakan itu.

Ia juga dipercayai menculik empat rakyat Malaysia, seorang warga Belanda dan empat penduduk tempatan, dalam kejadian berasingan. - AFP

Berita Harian X