Isnin, 16 Mei 2016 | 1:27pm

107,930 permohonan insentif pengeluaran getah dilulus - Nancy

KUALA LUMPUR: Sebanyak 107,930 permohonan diluluskan untuk pengagihan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) membabitkan peruntukan RM16.5 juta sehingga 30 April lalu.

Pemangku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Nancy Shukri, berkata ia adalah antara inisiatif kerajaan meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

"Bagi Kedah sahaja, sebanyak 2,802 permohonan diluluskan dengan nilai IPG yang diagihkan sebanyak RM259,000," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Wan Azizah ingin tahu usaha dan bantuan yang diberikan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah khususnya di Kedah yang dilanda kemiskinan akibat harga getah yang turun mendadak sekitar RM2.24 per kilogram sehingga 21 April.

Nancy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kementerian berkenaan dan Lembaga Getah Malaysia akan terus mempergiatkan program promosi IPG supaya lebih ramai pekebun kecil memohon insentif itu.

Ini termasuk Program Sembang Warung, program penerangan IPG dan pendaftaran Kad Permit Autoriti Transaksi Pekebun Kecil Getah (PAT-G), program di televisyen seperti Selamat Pagi Malaysia dan BIZ Malaysia, selain bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia.

Nancy berkata pada Januari 2016, Paras Harga Pengaktifan IPG telah dinaikkan untuk SMR20 iaitu RM5.10 kepada RM5.50 sekilogram dan bagi 'cuplump' dari RM2 kepada RM2.20 sekilogram dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta.

Langkah itu akan membolehkan pekebun kecil getah dengan pemilikan purata dua hektar dan produktiviti 'cuplump' sebanyak 3,000kg sehektar setahun, menikmati pendapatan bulanan sebanyak RM1,100 berbanding RM1,000 pada kadar lama, katanya.

Selain itu, Nancy berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada koperasi untuk terlibat dalam aktiviti urus niaga getah bagi membantu pekebun kecil.

"Peruntukan itu disediakan di bawah mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang untuk mengurangkan lapisan pembeli di samping membantu meningkatkan harga pembelian getah di peringkat ladang," katanya.

Penglibatan koperasi akan membolehkan pekebun kecil menikmati harga jualan pada purata RM0.10 sehingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah berlesen, kata Nancy. - BERNAMA

Berita Harian X