Isnin, 16 Mei 2016 | 12:06am

Pengurus dana asing terus aktif dalam pasaran


SAHAM kajian minggu ini ialah kaunter SEACERA@RM0.925 milik Seacera Group Berhad (SEACERA) yang beribu pejabat di Selayang, Selangor, terbabit di dalam industri jubin dan seramik.

Pasaran SEACERA ialah di Malaysia, negara ASEAN dan antarabangsa.

SEACERA juga terbabit dalam bidang hartanah dan pembangunan hartanah.

Prospek syarikat: SEACERA mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi bidang rawatan kesihatan.

Pada Januari lalu, SEACERA dilaporkan menguasai 51 peratus kepentingan di dalam Proligen Sdn Bhd yang membuat penapis untuk mesin rawatan penyakit buah pinggang.

Ini dijangka menambahkan perolehannya di masa akan datang.

Analisis fundamental: Pendapatan sesaham syarikat (EPS) adalah sebanyak 163.09 sen sesaham.

Nisbah harga ke atas pendapatan syarikat (P/E Ratio) ialah 0.57 kali. Nisbah Aset ketara bersih (NTA) adalah sebanyak RM2.72 sesaham.

Analisis teknikal: Untuk tempoh 52 minggu lalu, SEACERA mencapai paras tertinggi pada harga RM1.35, manakala paras terendah ialah pada harga RM0.55.


PERGERAKAN harga SEACERA pada minggu lalu. - Foto laman web Bursa Malaysia

Pada Jumaat lalu, SEACERA ditutup pada harga RM0.925 disokong oleh peningkatan jumlah dagangan. Pergerakan harga SEACERA pada minggu lalu menunjukkan ia berada dalam aliran menaik untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

Paras sokongan terkini adalah di sekitar paras SMA30. Paras rintangan pula adalah di sekitar RM0.94 dan seterusnya RM0.96. Sasaran pertama SEACERA ialah pada sekitar harga RM0.96 sasaran kedua di sekitar RM1.05 dan sasaran ketiga di sekitar harga RM1.10.

Jika pelabur masih memegang saham ini dan berlaku kejatuhan yang berterusan serta melepasi paras sokongan MA30, pelabur perlulah melakukan "Jualan Mengehadkan Kerugian" (Cut Loss) sebagai langkah meminimumkan kerugian.

Sekiranya ini berlaku, pelabur boleh mempertimbangkan untuk membuat belian semula sekiranya harga saham ini melepasi paras MA30. Namun begitu, jika saham SEACERA berjaya disokong di atas paras MA30, pelabur masih boleh terus memegang saham ini.

Analisa ini adalah untuk jangkamasa sederhana iaitu di antara dua minggu ke enam bulan.

Antara saham yang dijangka menarik perhatian pelabur minggu ini ialah HSL, MKH, TROP, SERNKOU, DNEX.

Analisis FBM KLCI

Indeks FBMKLCI meneruskan kejatuhan 17.17 mata (1.4 peratus) pada pembukaan urus niaga Isnin lalu, didorong kelemahan ringgit di pasaran mata wang menyaksikan pengurus dana asing meneruskan aktiviti penjualan.

Isu semasa tempatan juga masih menjadi fokus kepada kebanyakan pelabur dan menyebabkan sentimen yang agak negatif serta membuatkan pasaran terus mengalami tekanan jualan dan pelabur asing menjauhi pasaran.

Pada masa sama, indeks pasaran serantau dan dunia juga mengalami tekanan jualan.


PERGERAKAN harga Mycron pada minggu lalu. - Foto laman web Bursa Malaysia

Kaunter Mycron yang menjadi saham pilihan dua minggu sebelum ini terus naik RM0.10 (22.22 peratus) pada penutup urus niaga hari Isnin. Minat belian yang berterusan turut menyaksikan harga saham Mycron meneruskan aliran menaik.

Vivocom Bhd turut menganjurkan beberapa siri penerangan kepada pelabur runcit sepanjang minggu lalu dengan menunjukkan prospek syarikat yang sangat baik berikutan kejayaannya memperoleh tender pembinaan besar berkaitan dengan pembinaan landasan kereta api bersama CCRC.

Kaunter MISC pula jatuh mendadak RM1.09 (13 peratus) pada penutup urus niaga Isnin. Ini membuatkan saham syarikat itu berada dalam situasi yang dipanggil sebagai "selling climax" iaitu kejatuhan mendadak, diikuti dengan jumlah dagangan yang tinggi dan ini memberi peluang kepada sebahagian pelabur profesional membuat pembelian. Seperti dijangka kaunter MISC naik semula pada sesi dagangan hari Selasa.

Pelabur asing terus mendominasi penjualan di Bursa Malaysia pada Selasa dagangan dengan melakukan penjualan bersih RM222.2 juta manakala pelabur institusi pula menjadi pembeli bersih sebanyak RM210.2 juta dan pelabur runcit RM12 juta.

Kaunter AWC dan EFORCE meneruskan kenaikan dalam situasi apa yang dipanggil "terlebih belian" (overbought). Kenaikan yang kuat sebegini selalunya akan diikuti dengan kejatuhan yang kuat selepasnya.

Pada penutup urus niaga Jumaat, kaunter AWC sudah mula menunjukkan petanda awal untuk melalui fasa penjualan dan pengambilan untung bagi pelabur yang membeli lebih awal sebelum ia memulakan kenaikan.

Kaunter EFORCE pula masih ditutup tinggi pada penutup urus niaga Jumaat dan terus berada dalam situasi "terlebih belian" dari petanda indeks kekuatan relatif (RSI).

Sekali lagi pelabur runcit disarankan supaya berhati-hati jika ingin berdagang dengan kaunter ini.

Kenaikan harga saham sebegini sebenarnya sangat menguji kesabaran, terutama pelabur runcit yang mudah teruja dan membeli ketika harga sudah cukup tinggi.

Diharap situasi sebegini tidak lagi mendominasi aktiviti pasaran saham tempatan kerana pelabur runcit akan mudah mengalami kerugian dalam aktiviti pelaburan mereka di Bursa Malaysia.

Kaunter VIVOCOM pula terus mendominasi urus niaga di Bursa Malaysia sepanjang minggu lalu. Ia menjadi kaunter paling aktif diniagakan pada hari Jumaat yang lalu, namun harga sahamnya turun sebanyak RM0.015 (-4.17 peratus).

Kaunter itu terus menarik perhatian pelabur pada sepanjang minggu lalu kerana ia dipromosikan dengan agak agresif oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat.


PERGERAKAN harga VIVOCOM pada minggu lalu. - Foto laman web Bursa Malaysia

Sementara itu, dari segi analisa teknikal, pergerakan Indeks FBM KLCI kini berada dalam situasi tekanan jualan. Indeks utama Bursa Malaysia mengalami tekanan jualan untuk minggu ketiga berturut-turut. Jika minggu sebelumnya, paras sokongan SMA200 gagal bertahan, pada minggu lalu paras sokongan 1,640 juga tidak berupaya untuk bertahan.

Ini menyebabkan FBM KLCI berada di bawah paras Purata Pergerakan Mingguan (SMA5), Purata Pergerakan Bulanan (SMA30) dan Purata Pergerakan Tahunan (SMA200).

Secara teknikalnya, FBM KLCI berada di dalam kawasan terlebih jualan (oversold) untuk minggu yang kedua yang memberi gambaran ia mungkin boleh naik semula pada bila-bila masa saja.

Petunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI) pula menunjukkan bacaan pada Jumaat lalu berada pada paras 18.9 peratus berbanding 18.4 peratus pada Jumaat sebelumnya.

Paras RSI terkini masih menunjukkan momentum FBM KLCI masih lemah sejak 28 April 2016. Paras rintangan FBM KLCI kini dilihat berada pada sekitar paras 1,652 mata.

Paras 1,614 pula bertindak sebagai paras sokongan semasa. Kegagalan paras ini untuk bertahan akan menjadikan paras sokongan psikologi 1,600 mata sebagai paras sokongan seterusnya.


DARI segi analisa teknikal, pergerakan Indeks FBM KLCI kini berada dalam situasi tekanan jualan. - Foto hiasan/Muhd Asyraf Sawal

* Penulis ialah wakil peniaga saham berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Ahli Penuh MSTA (UK), CFTe (SA) dan MATA (Malaysia). Tulisan ini bukan bertujuan memberi saranan membeli atau menjual saham. Ia adalah berbentuk komentar penulis terhadap pasaran saham secara umum dan sebagai pendidikan kepada pelabur di Bursa Malaysia.

Berita Harian X