Isnin, 16 Mei 2016 | 12:03am

iPhone SE, Telefon 4 Inci Amat Berkuasa


TERAS prosesor iPhone SE dikuasakan oleh cip A9.

iPhone SE menjengah pasaran tempatan Jumaat lalu. Menepati jangkaan telefon pintar yang dikategorikan sebagai iPhone paling murah dalam siri keluaran gergasi teknologi APPLE Inc itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengguna di negara ini.

Menafikan beberapa pesaing terdekatnya dalam pasaran tempatan, iPhone SE memiliki beberapa kemajuan teknologi terkini sama seperti yang dimuatkan dalam iPhone 6S.

Teras prosesor iPhone SE dikuasakan oleh cip A9 yang mampu memberikan kepantasan pemprosesan dan daya balas hampir dua kali lebih pantas berbanding iPhone 5S.

Manakala cip prosesor grafiknya melangkaui tiga kali lebih berprestasi berbanding iPhone 5S, menghasilkan kepuasan grafik dan kedalaman imej yang sama seperti dihasilkan konsol permainan video.

Cip A9 telefon pintar ini juga dibangunkan bersama prosesor M9 yang turut dikenali sebagai prosesor mengesan pergerakan sensitiviti tinggi menggunakan akselerometer, kompas, dan giroskop.

Hasilnya, walaupun iPhone SE hadir dengan saiz paling kecil iaitu empat inci, penggunaan cip berkuasa tinggi itu menjadikannya sebagai telefon empat inci paling berkuasa pernah dihasilkan industri ketika ini.

Ditambah dengan Kamera 12 megapiksel (MP) yang mampu menghasilkan rakaman gambar berkualiti tinggi seperti iPhone 6S dan video mencapai kualiti 4K atau empat kali ganda berbanding resolusi 1080p definisi tinggi (HD).

Secara keseluruhannya bagi penulis, iPhone SE berada dalam kedudukan yang cukup unik dan bagi mereka yang mahukan telefon pintar berkuasa dalam saiz kecil comel, maka pasti penulis akan menyarankan iPhone keluaran baharu APPLE itu.

Info: iPhone SE

Varian: Kapasiti 16GB, 64GB

Dimensi: 4.87inci x 2.31 inci x 0.3 inci

Berat: 113 gram

Skrin: Teknologi Paparan Retina, 4 inci, LED, Skrin Sesentuh 1136x 640 piksel, Resolusi 326 ppi

Kamera: 12 megapiksel iSight.

Berita Harian X