Ahad, 15 Mei 2016 | 9:24pm

41 pasukan adu kekuatan Liga Hoki TNB Perak


SEBANYAK 41 pasukan akan berentap dalam Liga Hoki TNB Perak 2016 bermula 21 Mei ini. - Foto hiasan

IPOH: Sebanyak 41 pasukan akan berentap dalam Liga Hoki TNB Perak 2016 bermula 21 Mei ini.

Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Datuk Abdul Rahim Md Ariff, berkata kejohanan kali pertama itu mempertandingkan tiga kategori iaitu Perdana (Terbuka), Super (B17) dan Wanita.

"Sebanyak 16 pasukan menyertai Liga Perdana, 17 pasukan menyertai kategori Super dan lapan pasukan menyertai kategori Wanita," katanya selepas majlis pelancaran liga itu di Stadium Azlan Shah.

Turut hadir, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor.

Liga anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu dijangka berlangsung sehingga bulan Ogos dengan juara Liga Super akan menerima RM3,000 manakala naib juara RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Sementara itu, hadiah untuk juara liga Super dan Wanita ialah masing-masing RM1,000, RM800 dan RM500 untuk juara, naib juara dan ketiga.

Rahim berkata, pasukan hanya dibenarkan menggunakan khidmat tiga pemain sama ada kebangsaan atau bekas kebangsaan atau Sukan Malaysia (SUKMA).

Sementara itu, penyertaan 41 pasukan itu melayakkan Perak menerima tajaan berjumlah RM50,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun ia tidak mencukupi kerana kejohanan itu menelan belanja RM75,000.

Justeru, penganjur terpaksa mengenakan yuran penyertaan iaitu RM300 untuk Liga Perdana dan masing-masing RM150 untuk dua lagi kategori.

Berita Harian X