Ahad, 15 Mei 2016 | 2:19pm

1 rentung, 1 cedera dua kereta bertembung

CHUKAI: Seorang rentung manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 118 Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, pemandu PROTON Persona dikenali sebagai Noor Farhayat Rani, 33, dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah PRODUA Myvi.

Kejadian menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar sepenuhnya.

Noor Farhayat yang mengalami kecederaan, dapat diselamatkan oleh pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian namun pemandu PERODUA Myvi yang belum dikenal pasti identitinya, dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa yang rentung dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk pengecaman identiti manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X