Ahad, 15 Mei 2016 | 10:49am

Sultan Johor rasmi Muzium Mersing

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (dua dari kiri) menarik tombol gear sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) pada gimik Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2016, di Dataran Bandaraya Johor Baharu semalam. Turut hadir, Datuk Majlis Bandaraya Johor Baharu A.Rahim Nin (dua dari kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim (kanan). - Foto BERNAMA

MERSING: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Muzium Mersing di Jalan Ibrahim, dekat sini, hari ini pada hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016.

Baginda yang tiba jam 8 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pegawai Daerah Mersing, Adib Azhari Daud; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issac John.

Sultan Ibrahim meneruskan program merasmikan Muzium Mersing dengan menandatangani plak perasmian sebelum melawat pameran dalam bangunan berkenaan.

Program diteruskan dengan majlis santapan sebelum Sultan Ibrahim meneruskan perjalanan ke FELDA Nitar 2 di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Sementara itu, Zulkurnain berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) memperuntukkan kos berjumlah RM4.7 juta bagi mengambil alih bangunan kerajaan dan diubah suai menjadikan Muzium Mersing.

"Muzium ini sudah dirancang sejak tahun 2014 dan sebagai permulaan, sejumlah RM300,000 diperuntukkan sebelum ditambah sehingga disiapkan.

"Kerajaan negeri akan menempatkan kakitangan tetap di sini yang juga muzium kelima di bawah YWJ," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini.

Hari ini, Sultan Ibrahim memandu trak Mack bersama putera baginda, Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman; dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar, membabitkan laluan sejauh 242 kilometer.

Konvoi Diraja akan singgah di beberapa lokasi termasuk Dataran Kahang, Persiaran Datuk Haji Ismail Hassan, Kluang dan Padang Awam Chaah.

Sambutan rasmi kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala FA yang turut dihadiri Sultan Ibrahim dijangka berlangsung kira-kira jam 3 petang ini.

Berita Harian X