Ahad, 15 Mei 2016 | 6:36am

Tanggungjawab sosial korporat dari sudut Islam


Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid (tengah) bersama Pengarah dan Pengurus Besar Wacoal Malaysia, Vincent Leong (kanan) dan Takashi sebelum melepaskan peserta pada pelancaran Kempen Riben Merah Jambu 2015 Wacoal bersama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Balai Berita. - Foto Salhani Ibrahim/NSTP

Tarikan terhadap tanggungjawab sosial korporat atau lebih dikenali dengan Corporate Social Responsibility (CSR) dalam dunia perniagaan, bermula di Barat sejak 1950-an. Bagaimanapun, sejak berlaku krisis kewangan pada 2007, teori CSR ini mula mendapat perhatian semula dalam dunia perniagaan.

CSR merujuk kepada tanggungjawab korporat untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Dalam hal krisis kewangan, pakar ekonomi bersetuju bahawa ideologi kapitalisme adalah antara penyebab utama manusia menjadi tamak dan tidak bermoral. Lantaran itu, pakar ekonomi menyatakan sistem kapitalisme perlu didokong dengan nilai moral untuk memastikan keadaan ekonomi kembali kukuh.

Tumpu nilai moral

Walaupun industri perbankan dan kewangan Islam tidak terjejas teruk ketika krisis kewangan itu, isu moral juga diberi perhatian oleh pakar ekonomi Islam. Berbeza dengan pendapat pakar ekonomi Barat, nilai moral dan tanggungjawab sosial sememangnya antara elemen penting dalam transaksi ekonomi Islam. Oleh yang demikian, CSR menurut pandangan Islam mempunyai aspek kerohanian yang menjadikannya unik berbanding teori Barat.

Penemuan CSR daripada pandangan Islam atau lebih dikenali dengan Islamic CSR (ICSR) adalah daripada perdebatan pakar ekonomi Islam mengenai saringan nilai moral dan etika dalam operasi institusi perbankan dan kewangan Islam. Institusi perbankan dan kewangan Islam menegaskan bahawa keunikan dan daya tahan operasinya adalah berasaskan sistem ekonomi Islam yang berlandaskan syariah dan menegakkan keadilan sosioekonomi.

Melihat perkembangan dan kejayaan institusi pada masa ini, pakar ekonomi Islam menyatakan bahawa institusi ini lebih cenderung kepada prinsip form over substance. Institusi ini dikatakan memenuhi kehendak form iaitu undang-undang syariah, tetapi gagal untuk memenuhi kehendak substance yang merujuk kepada nilai moral dan etika.

Perdebatan ini dianggap sangat penting kerana ia menzahirkan asas sistem ekonomi Islam itu yang sepatutnya menegakkan prinsip substance over form. Ternyata, menurut pandangan Islam, aspek akhlak memainkan peranan yang sangat penting melebihi daripada kehendak undang-undang.

Bagaimanapun, menurut Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 30 Mac 2006, kedua-dua elemen: subtance dan form adalah sama penting dan seharusnya tidak bercanggah antara satu sama lain. Sejak itu, kajian ilmiah dalam falsafah ICSR telah berkembang bertepatan dengan kehendak semasa industri perbankan dan kewangan Islam. ICSR yang dikembangkan daripada bidang ilmu Barat ini dilihat secara menyeluruh di mana konsep falah atau kejayaan merupakan tunjang utama. Kejayaan yang dimaksudkan adalah kejayaan di dunia dan juga di akhirat, dengan aspek kerohanian digabungkan dengan aspek material.

ICSR adalah artikulasi daripada sistem ekonomi moral Islam atau dikenali dengan Islamic moral economy. Sistem ini berasal daripada sistem ekonomi moral yang menekankan kepentingan terhadap kepercayaan kepada tuhan dan kepentingan akhlak dan etika dalam amalan ekonomi dan kewangan.

Keadilan sosial dan ekonomi

Ternyata sistem ekonomi ini selari dengan ideologi pakar ekonomi Islam yang mahukan keadilan sosial dan ekonomi untuk pembangunan masyarakat. Tonggak utama dalam sistem ekonomi moral Islam ini ada lima aspek.

Pertama adalah tauhid iaitu akidah Islam yang merujuk kepada keyakinan terhadap kehadiran Allah. Pentingnya elemen ini kerana ia adalah sikap akauntabiliti kerohanian yang membentuk sikap manusia dalam amalan kewangan. Kedua, 'adl wal ihsan' iaitu aspek keadilan dan sifat bertimbang rasa yang menyumbang ke arah keseimbangan sosial. Elemen ini membentuk sikap kesamarataan dalam kalangan masyarakat di mata Allah.

Ketiga, rububiyyah iaitu komponen tauhid yang meyakini Allah itu Esa di mana ia merupakan sumber nilai yang membentuk kesempurnaan. Ia penting untuk sistem ekonomi yang lestari dan berdaya saing.

Keempat, tazkiyyah pula merujuk kepada pembangunan dan penyucian jiwa. Nilai tazkiyyah ini adalah integrasi di antara nilai moral, kerohanian dan material yang penting untuk menghindarkan daripada sikap negatif seperti tamak, mementing diri sendiri, hasad dengki dan lain-lain.

Akhir sekali adalah ukhuwah atau persaudaraan dan penyatuan ummah. Ia merujuk kepada semangat persaudaraan merentasi agama dan kaum.

Penemuan ilmu ICSR ini ternyata sangat penting dalam perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam kerana ia mengubah pendirian 'homoeconomicus' iaitu manusia yang mementingkan pulangan keuntungan yang tinggi kepada 'homoislamicus' atau manusia yang berteraskan kepada ajaran Islam yang mementingkan pulangan sosial dan ekonomi. Jelas ICSR ini dapat membentuk keseimbangan sosial dan ekonomi untuk pembangunan masyarakat yang berteraskan Islam.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

78 dibaca
Berita Harian X