Sabtu, 14 Mei 2016 | 3:03pm

11 ditahan guna dokumen IMM13 palsu

TAWAU: Sebelas pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, termasuk tiga wanita ditahan Jabatan Imigresen semalam kerana dipercayai menggunakan dokumen IMM13 palsu untuk tinggal di negara ini.

Mereka berusia antara 22 dan 50 tahun ditahan di Pejabat Imigresen Tawau ketika memperbaharui tarikh lanjutan dan pengesahan dokumen berkenaan.

Difahamkan, dokumen IMM13 itu dikeluarkan sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai berpangkalan di Semporna.

Ketua Jabatan Imigresen Daerah Tawau, Noraini Rasi, berkata susulan penahanan 11 PATI itu, seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai dalang sindiket, ditahan petang semalam.

"Wanita berkenaan ditahan pada jam 4.30 petang susulan penahanan 11 individu berkenaan.

"Suspek yang berstatus pemastautin tetap (PR) ditahan 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Noraini berkata, pihaknya giat mengesan pemegang dokumen IMM13 palsu lain, selain ahli sindiket yang dipercayai mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran antara RM500 dan RM800 bagi setiap pemohon.

Berita Harian X