Sabtu, 14 Mei 2016 | 7:25am

Rom Masters: Murray, Djokovic lepasi suku akhir


ANDY Murray dan Novak Djokovic.

ROM: Pemain Britain, Andy Murray dalam laluan ke final Rom Masters untuk berdepan lagi dengan pemain nombor satu dunia dari Serbia, Novak Djokovic selepas kedua-duanya melepasi suku akhir, semalam.

Murray, yang tewas kepada Djokovic pada final di Madrid minggu lalu, tidak berdepan banyak masalah mengatasi pemain Belgium David Goffin 6-1, 7-5.

Djokovic pula melepasi halangan Rafael Nadal untuk menamatkan harapan pemain pilihan kelima dari Sepanyol itu meraih kejayaan kelapan di ibu kota Itali itu.

Murray, mara ke kelompok empat terakhir buat kali kedua selepas 2011, akan ke final esok ini jika seperti dijangka melepasi halangan pemain Perancis, Lucas Pouille pada separuh akhir hari ini.

Djokovic pula akan berdepan Kei Nishikori selepas pemain Jepun yang juga pilihan keenam itu mengatasi pemain Austria, Dominic Thiem, yang sebelum itu menyingkirkan Roger Federer, 6-3, 7-5.

Murray tewas kepada Nadal pada separuh akhir Monte Carlo Masters bulan lalu dan walaupun tewas kepada Djokovic minggu lalu, dia merasa bersemangat dengan perubahan dilaluinya pada gelanggang terbabit.

"Saya mula menuai hasil kerana kerja keras di gelanggang ini," kata Murray. - AFP

Berita Harian X