Sabtu, 14 Mei 2016 | 12:02am

Ikan siakap empat rasa

BAGI kebanyakan restoran ala Thai, masakan yang lazim dipesan adalah tomyam makanan laut, sup campur, kailan ikan masin, telur dadar dan tidak dilupakan ikan masak tiga rasa.

   Menu ini seakan menjadi pengenalan wajib kepada sesiapa saja yang menjamu selera di restoran Pattani kerana ia menjanjikan cita rasa masakan enak, aroma yang membangkitkan nafsu makan.

   Bagi yang ingin mencuba di rumah, bolehlah memasak ikan siakap empat rasa yang dikongsikan oleh Cef Eksekutif, Huzaidy Samson, 33, dari Hotel Novotel Kuala Lumpur City Centre.

Mudah dan ringkas

Huzaidy pernah menimba pengalaman di merata negara, termasuk Uzbekistan, Singapura, Dubai, Indonesia, Doha dan banyak lagi. Pengalaman bekerja di pelbagai negara yang berlainan latar dan budaya, menambahkan pengetahuan dalam menyajikan aneka resipi antarabangsa.

   Anak keempat daripada enam beradik ini, meminati dunia masakan sejak usia 11 tahun, berikutan sering dikerah ibunya membantunya memasak.

   "Bermula daripada paksaan, lama-kelamaan minat itu timbul membuatkan saya bertekad memilih bidang pastri sebagai permulaan, selain banyak belajar ilmu kulinari dari dapur hotel tempat bekerja," katanya.

   Untuk resipi dikongsikan, katanya ia mudah, ringkas dan memenuhi selera sesiapa saja, sekali gus menjadi kegemaran ramai untuk dicuba.

   Rasa hidangan itu tidak pedas dan disulami rasa masam yang mengecurkan air liur.    

   Melengkapkan hidangan, Huzaidy turut berkongsi resipi goreng sayur campur dan nasi jagung.

Ikan siakap empat rasa

* 120gram (g) isi ikan Siakap

* 30g tepung gandum

* 1 biji telur

Kuah untuk masakan empat rasa

* 15 mililiter (ml) jus asam jawa

*10g bawang merah (dicincang halus)

* 10g serai (dicincang halus)

* 10g bawang putih (dicincang halus)

* 10g lengkuas (dikisar halus)

* Sebiji tomato (dihiris halus)

* Empat sudu makan sos tomato

* 5g cili padi (dicincang)

* 5g cili merah (dihiris halus)

* 3 biji oren (diambil jus sahaja)

* 10 g gula

* 10 g serbuk kunyit

* 10 g daun pudina

* Garam secukup rasa

Nasi jagung

* 15 g mentega atau minyak sapi

* 50 g isi jagung

* 50 g nasi (yang sudah dikukus)

* 5 g bawang putih (dicincang halus)

* 5 bawang merah (dicincang halus)

Sayur-sayuran tumis

* 50 g brokoli

* 50 g bunga kubis

* 50 g lobak merah

* 30 g mentega

Cara penyediaannya:

1. Perapkan isi ikan siakap dengan garam dan tepung. Kemudian, goreng ikan hingga kekuningan.

2. Bagi menyediakan sos pula, tumiskan bawang putih, bawang merah, lengkuas dan daun kunyit menggunakan minyak sapi.

3. Masukkan hirisan tomato, cili dan kemudian tambahkan empat sudu sos. Tambahkan sedikit air. Tunggu hingga masak.

4. Perasakan kuah dengan gula dan juga garam.

5. Masukkan jus oren dan asam jawa.

7. Bagi nasi jagung pula, panaskan mentega. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga kekuningan. Masukkan isi jagung dan goreng antara tiga hingga lima minit. Goreng nasi dengan bahan yang ditumis.

8. Bagi sayur-sayuran pula, rebus sayur hingga separuh masak. Panaskan kuali dan masukkan mentega diikuti dengan sayur-sayuran dan masak selama 5 minit.

9. Untuk penyediaan hidangan, letakkan nasi di atas pinggan, diikuti dengan sayur-sayuran dan atas dengan ikan. Akhir sekali tuangkan sos di atas ikan dan sedia untuk dihidangkan

INFO: Ikan siakap

* Dikategorikan sebagai kurang berlemak.

* Selain enak digoreng garing, ia juga selalu dijadikan hidangan

masakan stim.

* Ada juga menjadikan ia hidangan sup dengan menambahkan

pelbagai herba.

Berita Harian X