Jumaat, 13 Mei 2016 | 3:07pm

Calon BN 2 PRK 'winnable, likeable' - Zahid

AHMAD Zahid berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 2016 di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon yang bukan saja 'winnable' tetapi juga 'likeable' pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata BN akan menyenarai pendek calon yang berpotensi dan mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu seminggu sebelum hari penamaan calon.

"Sebelum memilih calon, kita akan semak latar belakang dengan beberapa agensi agar calon-calon bersih daripada semua unsur negatif," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

Kekosongan kerusi P.093 Sungai Besar dan P.067 Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu. - BERNAMA

Berita Harian X