Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:10pm

PRK serentak Kuala Kangsar, Sungai Besar - SPR


PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah di sini, sebentar tadi.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar selepas menewaskan calon PAS dan Bebas, manakala Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar selepas mengalahkan calon PAS.

Dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas berhubung kedua-dua PRK berkenaan, Mohd Hashim berkata, SPR menetapkan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.

Bagi PRK Sungai Besar, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi ialah di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.

Allahyarham Noriah dan Wan Mohammad merupakan antara enam mangsa kemalangan helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dekat Sebuyau iaitu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang helikopter, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.

Berita Harian X