Jumaat, 13 Mei 2016 | 11:14am

Pemandu lori bersama dadah, pokok ganja ditahan


TIMBALAN Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Superitenden Abdul Latiff Mehat (kiri) menunjukkan tiga batang pokok ganja dan dadah siap diproses yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pasir Puteh kelmarin pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Polis menahan seorang pemandu lori selepas menemui 2.7 kilogram (kg) heroin, 59 gram (g) syabu serta tiga batang pokok ganja dalam serbuan di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.30 malam di sebuah rumah di Pasir Puteh itu, polis turut merampas sebuah kereta PROTON Iswara dan dua motosikal milik suspek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Superintendan Abdul Latiff Mehat, berkata dadah itu dianggar bernilai RM171,000 manakala heroin dan syabu boleh dibekalkan kepada kira-kira 2,400 penagih.

"Tiga pokok ganja yang ditanam dalam pasu di luar rumah berusia lima bulan dan biasanya mengambil masa kira-kira setahun sebelum daunnya boleh diproses untuk kegunaan penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, sebentar tadi.

Abdul Latiff berkata, suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Klang, Selangor, itu tidak mempunyai rekod jenayah manakala ujian kencing mencatat keputusan positif dadah.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6B akta sama.

16 dibaca
Berita Harian X