Jumaat, 13 Mei 2016 | 12:29am

Pelajar Burkina Faso cipta sabun halau nyamuk

DAKAR: Dua bekas pelajar dari Burkina Faso mencipta sabun penghalau nyamuk yang diharap menjadi penyelesaian mudah dan berpatutan bagi melawan malaria, namun lebih banyak dana diperlukan untuk menguji idea itu.

Moctar Dembélé dan Gérard Niyondiko, pencipta Faso Soap, dianugerahkan wang tunai AS$25,000 (RM100,243.75) untuk ciptaan mereka pada tahun 2013 apabila menjadi pemenang Afrika pertama dalam Global Social Venture Competition di Universitif California Berkeley.

Namun Faso Soap perlu diuji untuk memastikan ia selamat bagi kegunaan manusia dan berkesan mencegah malaria sebelum ia boleh dikeluarkan secara besar-besaran oleh pengeluar sabun di Afrika, kata Franck Langevin, pengarah kempen untuk syarikat berpangkalan di Ouagadougou.

Langevin berkata, sabun itu, dicipta daripada minyak semula jadi dan tumbuhan, mungkin terbukti berjaya mencegah malaria kerana ia murah dan bergantung kepada tabiat sedia ada dalam isi rumah di Afrika.

"Penduduk di Afrika ragu-ragu menukar tabiat mereka, namun sabun ada di kebanyakan rumah dan digunakan untuk mandi, membersihkan rumah dan mencuci pakaian," katanya.

Sabun itu dicipta untuk menghalau nyamuk sehingga enam jam selepas digunakan dan sebaik air bersabun dibuang di jalanan, ia menghalang nyamuk daripada membiak dalam air bertakung. -Reuters

Berita Harian X